
KUALA LUMPUR- Kaunselor Kedutaan Korea Utara di Malaysia, Kim Yu-Song berkata, Malaysia perlu menanggung akibat daripada tindakan mengekstradisi warganegara Korea Utara kepada Amerika Syarikat (AS).
Yu Song ketika bercakap kepada pemberita di pekarangan Kedutaan Korea Utara di Bukit Damansara berkata, Malaysia perlu menanggung akibat daripada tindakan itu apabila mengenakan pendakwaan terhadap rakyatnya.
“Pihak berkuasa Malaysia perlu bertanggungjawab sepenuhnya dan akan menanggung semua akibat terjejasnya hubungan dua negara ini,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan Kedutaan Korea Utara di Jalan Batai, Bukit Damansara hari ini.

Terdahulu, sebuah bas persiaran kelihatan memasuki pekarangan Kedutaan Korea Utara di Jalan Batai, Bukit Damansara di sini, pagi ini untuk membawa kakitangan dan pegawai Kedutaan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Pada Jumaat lalu, kerajaan mengarahkan semua kakitangan diplomatik Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur dan ahli keluarga meninggalkan negara ini dalam tempoh 48 jam.