KPN dedah ada pegawai polis lindungi penjenayah bergelar Datuk Seri

0
441
Tan Sri Abdul Hamid Bador

KUALA LUMPUR – Polis mengesyaki terdapat pegawai dan anggotanya terlibat dalam melindungi suspek utama kes jenayah yang sedang diburu iaitu Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kebocoran maklumat mengenai Operasi Pelican 3.0 yang dilaksanakan oleh Polis Kontinjen Johor, mengenai serbuan yang bakal dilaksanakan di kawasan Setia Walk, Puchong, menyebabkan suspek tersebut melarikan diri.

Katanya, Nicky, 33, dipercayai mengetahui maklumat mengenai operasi yang bakal dibuat pada 20 Mac lalu itu daripada pegawai dan anggota polis dan agensi penguat kuasa lain termasuk imigresen yang berada di bawah kawalannya.

“Susulan daripada kebocoran maklumat itu, Nicky sempat membawa bersama-samanya lapan beg besar mengandungi wang tunai dianggarkan jutaan ringgit.

Suspek utama yang dikehendaki polis

“Saya kesal dan kecewa dengan tindakan duri dalam daging yang ada dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membocorkan maklumat sehingga membolehkan dia mengetahui serbuan yang bakal dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, pihaknya mengesyaki terdapat 34 pegawai dan anggota dari pelbagai agensi penguat kuasa yang melindungi kegiatan suspek itu.

Katanya lagi, suspek dipercayai menjalankan penipuan seperti memberi pinjaman wang tidak berlesen, pelaburan tidak wujud dan tipu jual beli dalam talian.

Suspek yang juga Pengasas Winner Dynasty Group dikehendaki bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 130 V hingga 130 ZB Kanun Keseksaan bagi kesalahan kumpulan jenayah terancang.

Dua kertas siasatan berkaitan individu itu sudah dibuka di negeri ini di bawah Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Sebelum ini, Soon Hee pernah ditahan kerana mencederakan dua anggota Sukarelawan Malaysia (RELA) yang sedang bertugas di perkarangan Tokong Kou Ong Yah, Jalan Merdeka, Kampung Baru Ampang, Kuala Lumpur, empat tahun lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here