Kumpulan Malakat bangunkan teknologi blockchain untuk pastikan daging import halal 100 peratus

0
1187
Konsultan Blockchain Malakat, Effendy Zulkifly

RAUDHAH CITY – Kumpulan Malakat akan menggunakan teknologi terkini blockchain bagi memastikan daging import yang dipasarkan di pasar raya miliknya adalah diyakini halal sepenuhnya tanpa sebarang manipulasi pihak ketiga.

Menurut Konsultan Blockchain Malakat, Effendy Zulkifly, pembangunan teknologi terkini itu sudah memasuki fasa terakhir dan ia akan dilancarkan secara rasmi pada Jumaat ini oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Beliau berkata, dengan adanya teknologi tersebut ia sekali gus dapat melenyapkan kerisauan umat Islam di Malaysia mengenai sumber daging import sama ada ia benar-benar halal atau tidak.

“Teknologi terkini yang kita bangunkan ini adalah untuk memastikan daging itu betul-betul halal. Di bawah ekosistem Malakat, kita akan gunakan QR Code untuk mengesahkan status daging berkenaan.

“Pengesahan ini dapat dilakukan dengsan sangat mudah, hinggakan makcik-makcik di kampung pun boleh buat, ia semudah kita gunakan telefon untuk imbas melalui aplikasi MySejahtera. Sebelum ini orang lain tak pernah buat cara ini, kalau tak percaya boleh pergi ke mana-mana kedai makan, boleh tak kita tahu itu asal dari mana, walhal untuk Covid-19 boleh pula kita buat MySejahtera.

“Dengan menggunakan teknologi ini, apabila kita imbas sahaja ia akan keluar data sama ada sudah disahkan oleh Jakim atau tidak, di mana sumber asal daging itu dan lain-lain. Sebelum ini orang awam seperti kita memang tak boleh kesan, kita hanya redha makan daging import yang dibekalkan,” katanya dalam temubual bersama Malakat Tribune.

Ditanya bagaimana idea menggunakan teknologi blockchain diilhamkan, katanya, ia rentetan daripada isu daging tidak diyakini status halalnya yang tular di media baru-baru ini sehingga menyebabkan pihaknya terpanggil untuk menggunakan kepakaran dalam teknologi itu untuk membantu umat Islam.

Daging Segar – Gambar Hiasan

Katanya, penyelesaian yang dibuat itu bukan lagi isu fardu kifayah tetapi merupakan fardu ain dalam memastikan hanya bekalan daging diyakini halal 100 peratus di makan oleh umat Islam di Malaysia.

Berikutan itu, katanya, untuk permulaan pihak Malakat akan mengimport sebanyak empat kontena daging import yang telah dilengkapi dengan sistem teknologi tersebut.

Tambahnya lagi, bagi memastikan isu daging halal tidak dimanipulasi oleh mana-mana individu, pihaknya sendiri akan menghantar pegawai yang berkelayakan, beramanah dan beriman untuk melakukan tugasan tersebut.

Malakat Mall

“Kalau produk itu sudah ada tanda halal pengesahan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kita akan berpandukan kepada pengesahan itu dan kita akan mudahkan pelanggan untuk membuat pemeriksaan.

“Untuk masa hadapan mungkin kita akan bekerjasama dengan Jakim tetapi untuk permulaan ini kita mulakan dari ‘zero’ sebab kita mahu kawal ekosistem kita sendiri. Kita akan hantar pegawai kita ke pusat sembelihan dan negara sumber untuk memeriksa serta memasukkan data ke dalam blockchain.

“Kemudian kita akan pantau setiap lapisan tersebut,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here