Langgar SOP PKPB: Polis panggil Najib

0
212
Datuk Seri Najib Tun Razak ketika tiba di restoran berkenaan

CYBERJAYA – Polis akan memanggil bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi menjalankan siasatan berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika makan di sebuah restoran nasi ayam di Jalan Bukit Bintang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan itu dijalankan berikutan penularan satu video di media sosial yang memaparkan Najib melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKPB apabila tidak melakukan imbasan suhu dan tidak mendaftar MySejahtera ketika masuk ke restoran berkenaan.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) 2021.

“Semua individu yang terbabit dalam kes ini akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk memberi keterangan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Restoran nasi ayam hailam yang disinggah oleh Datuk Seri Najib Tun Razak semalam

Dalam pada itu katanya, kertas siasatan berhubung perkara itu akan diserahkan ke pejabat Pendakwa Raya sebaik siasatan selesai dijalankan.

“Kami menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi SOP PKPB. Kegagalan mematuhi arahan itu akan mengakibatkan tindakan diambil di bawah peruntukan undang-undang yang masih berkuat kuasa,” katanya.

Semalam tular satu video berdurasi satu minit 39 saat menunjukkan Najib dilihat masuk ke restoran berkenaan dengan tidak melakukan imbasan suhu serta mendaftar MySejahtera tular di media sosial.

Sementara itu, Najib dalam satu hantaran berhubung perkara itu di Facebook miliknya semalam mengaku kesilapannya itu dan bersedia untuk disaman di atas kesalahan tersebut.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here