LHDN nafi jadi alat politik,setiap tindakan diambil berdasarkan undang-undang

0
86
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menafikan menjadi alat politik pihak tertentu untuk menganiaya mana-mana individu terutamanya ahli politik dengan mengenakan tindakan aktiviti audit atau pun siasatan.

Menurut LHDN, setiap tindakan yang diambil itu adalah bertujuan untuk memastikan pematuhan kepada undang-undang percukaian yang berkuatkuasa. 

Katanya, sebagai sebuah agensi utama pemungut hasil negara, LHDN kekal komited menjalankan amanah yang diberikan tanpa rasa bimbang atau pilih kasih.

“LHDN sentiasa adil, saksama dan berintegriti kepada semua pembayar cukai serta bertindak berpandukan peruntukan undang-undang percukaian negara secara teratur dan profesional. 

“Sehubungan itu, LHDN ingin menekankan bahawa setiap aktiviti penguatkuasaan termasuk aktiviti pungutan dan guaman sivil dilakukan berlandaskan akta-akta percukaian yang berkuatkuasa, serta berpandukan Rangka Kerja Audit Cukai (RKAC) dan Rangka Kerja Siasatan Cukai (RKSC) yang boleh diakses menerusi portal rasmi LHDN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut,katanya, sistem pemilihan kes untuk tindakan penguatkuasaan LHDN adalah berdasarkan kriteria dari sudut kegagalan mematuhi perundangan percukaian semata-mata. 

Malah, jelasnya, LHDN juga tidak menyimpan maklumat kaum, agama apatah lagi kecenderungan politik individu di dalam pangkalan datanya kerana maklumat sebegini tidak membantu penilaian risiko sesuatu kes. 

Pada masa sama, katanya, maklumat individu atau syarikat yang dikenakan tindakan audit dan siasatan juga tidak didedahkan oleh LHDN kerana tertakluk kepada peruntukan kerahsiaan.

“Sekiranya orang awam, syarikat mahupun pertubuhan tidak berpuas hati dengan taksiran yang dibangkitkan, atau merasakan terdapat kesilapan pada cukai yang dikenakan, rayuan boleh dibuat kepada Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (PKCP) dengan mengemukakan Borang Q yang boleh dimuat turun dan dicetak di portal rasmi LHDN. 

“Borang Q yang lengkap berserta dengan alasan hendaklah dikemukakan ke cawangan LHDN yang mengendalikan fail cukai pendapatan perayu.

“Sebelum Borang Q dikemukakan kepada PKCP, pembayar cukai boleh berbincang dengan LHDN melalui platform Prosiding Resolusi Pertikaian untuk mencapai penyelesaian luar mahkamah. Sekiranya persetujuan luar mahkamah tidak dapat dicapai, Borang Q tersebut akan dikemukakan dan diputuskan oleh PKCP,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here