MAIWP bakal perkenal ‘currency’ sendiri

0
78

CYBERJAYA – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan memperkenalkan matawang sosial (MAIWP Sosial Currency) yang bertujuan memberi ganjaran kepada kerja-kerja sosial atau sumbangan kepada komuniti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, usaha yang merupakan salah satu daripada rancangan penambahbaikan oleh MAIWP itu dibincangkan bersama Pengerusi MAIWP, Datuk Dr. Mohd Daud Bakar dalam pertemuan hari ini.

Zulkifli berkata, matawang itu tidak mempunyai nilai kewangan tetapi ia memberi ganjaran dan peluang kepada masyarakat untuk tampil ke hadapan untuk menyumbang kepada komuniti.

“Sebagai sebuah agensi di bawah tanggungjawab saya, MAIWP sentiasa berusaha untuk memberikan khidmat yang terbaik kepada umat Islam di Wilayah Persekutuan.

“Kami sempat berbincang tentang beberapa usaha, antaranya berkenaan Matawang Sosial MAIWP (MAIWP Social Currency),” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Pengerusi MAIWP, Datuk Dr. Mohd Daud Bakar

Menurutnya, melalui kaedah itu sumbangan orang ramai akan dinilai dan diganjari dalam bentuk “matawang sosial” yang boleh digunakan suatu masa nanti untuk mendapatkan perkhidmatan di institusi di bawah MAIWP.

“Ini adalah usaha untuk menggalakkan masyarakat untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti kebajikan dan dakwah.

“Saya mengharapkan agar MAIWP terus menjadi peneraju dalam
kerja-kerja kebajikan yang inovatif berpaksikan zakat. Terima kasih kepada semua pembayar zakat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here