Malakat Mall Masjid Tanah satu rahmat bagi pasangan OKU

0
626
Kakitangan Malakat Mall Masjid Tanah berinteraksi dengan pelanggan OKU pada hari kedua pelancaran pusat beli belah itu.

MASJID TANAH – Pembukaan Malakat Mall Masjid Tanah (MMMT) di sini pada Sabtu lalu umpama rahmat bagi pasangan orang kurang upaya (OKU), Rozuki Amrani dan Noraini Puteh.

Pasangan suami isteri yang berkerusi roda itu berkata, pengalaman membeli-belah tidak pernah semudah itu apabila dibantu sebaik sahaja tiba sehinggalah saat meninggalkan pusat beli-belah itu.

Bermula dengan kemudahan tempat letak kenderaan yang dikhaskan untuk OKU bersebelahan dengan pintu masuk utama, pergerakan mereka begitu lancar dengan iringan pekerja yang sentiasa peka dengan keadaan mereka.

Rozuki dan isteri yang datang dengan memandu sendiri kereta berkata, berbeza dengan pengalaman berbelanja di kebanyakan pasar dan kedai serbaneka, pergerakan dalam mall tanpa tangga itu cukup mudah.

“Bermula dari tingkat bawah sehingga tingkat atas, tiada masalah langsung kerana ramai pekerja yang sudi membantu. 

“Sebelum ini kalau kami ke pasar raya lain, memang susah nak bergerak kerana reka bentuk bangunan yang tidak begitu mesra OKU,’’ katanya yang hilang keupayaan berjalan sejak berusia enam tahun.

Rozuki Amrani dan isteri, Noraini Puteh yang berbelanja di Malakat Mall Masjid Tanah, Melaka.
Laluan eskalator yang memudahkan pergerakan golongan OKU.

Sementara itu Noraini berkata, MMMT akan menjadi pilihan baharu untuk mereka sekeluarga membeli-belah selepas pengalaman kali pertama berkunjung ke pusat beli belah itu.

“Kakitangan di sini memang ramai dan mereka sentiasa bertanya jika ada apa-apa yang boleh dibantu.

“Kalau mudah macam ini nampaknya tiada lagi masalah untuk saya membeli barang-barang dapur dalam jumlah yang lebih banyak.

“Barang-barang yang dibeli pun terus dibawa ke kereta dan mereka kemudian membantu melipat kerusi roda kami,’’ katanya dalam nada terharu.

Noraini yang hilang keupayaan untuk berjalan selepas diserang demam polio semasa masih kanak-kanak bagaimanapun berharap layanan yang baik oleh pihak pengurusan MMMT akan berterusan.

“Bagi sesetengah orang, mereka mungkin tidak perlukan bantuan dan iringan seperti itu tapi kami orang OKU lihat itulah tarikan dan keistimewaan di sini yang tidak ada di tempat lain,’’ katanya.

Kakitangan Malakat Mall Masjid Tanah memberi layanan terbaik kepada pelanggan OKU.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here