
CYBERJAYA – Malakat Mall mensasarkan pembukaan 300 cawangan gerai jualan minuman Tea Amo di seluruh negara tahun ini melalui kerjasama dengan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd.
Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berkata, jumlah itu tidak termasuk 50 lagi outlet yang akan dibuka dalam tempoh yang sama melalui kerjasama dengan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).
Beliau berkata, selain penempatan jenama Tea Amo, pengembangan perniagaan di stesen-stesen minyak Shell di seluruh negara itu juga melibatkan pembukaan Malakat Express, iaitu rangkaian kiosk makanan menawarkan pelbagai produk Malakat Mall.
“Sasaran yang kami bentangkan kepada Shell Malaysia adalah pembukaan sebanyak 300 outlet Tea Amo sepanjang tahun ini.
“Itu termasuk meletakkan Malakat Express di stesen-stesen minyak Shell yang mempunyai ruang.
“Tapi kami akan mulakan dulu dengan minimum 10 cawangan dalam masa terdekat. Kita sangat teruja dengan peluang kerjasama yang diberikan,” katanya selepas menerima kunjungan wakil Shell Malaysia Trading Sdn Bhd, diketuai Pengarah Urusannya, Shairan Huzani Husain di Malakat Mall hari ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (GCOO), Kumpulan CF Global Ventures Sdn Bhd., Adzhar Mohd. Noor dan Ketua Pegawai Operasi Malakat Mall, Salam Zulkarnain.

Kunjungan itu merupakan sebahagian daripada perbincangan perniagaan kumpulan Malakat Mall untuk mengembangkan perniagaan di stesen-stesen minyak milik Shell Malaysia Trading.
Mengulas lebih lanjut, Mohd. Fadzil berkata, pihaknya cukup yakin dan optimis dengan kerjasama itu dan melihat lebih banyak peluang yang bakal diterokai pada masa akan datang.
“Setakat ini saya lihat ada banyak lagi peluang kerjasama yang menanti dengan Shell Malaysia, cuma yang banyak itu masih belum diputuskan lagi.
“Kita juga masih tidak dapat umumkan lokasi-lokasi pembukaan cawangan Tea Amo dan Malakat Express kerana masih tidak diputuskan lagi,” ujarnya.

Menurut Mohd. Fadzil atau lebih dikenali sebagai Coach Fadzil, kerjasama perniagaan dengan syarikat minyak terbesar negara itu merupakan satu pengiktirafan kepada pencapaian Malakat Mall.
“Ini adalah pengiktirafan pada usaha yang kita lakukan di Malakat Mall yang bukan sahaja dapat perhatian bahkan dapat sokongan daripada syarikat antarabangsa iaitu Shell,” katanya.
