
MASJID TANAH – Malakat Mall mensasarkan bayaran gaji minimum sebanyak RM5,000 sebulan kepada kakitangan kumpulan perniagaan itu dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berkata, jumlah pembayaran gaji minimum itu bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai sekiranya syarikat itu mampu mencapai sasaran perniagaan.
Katanya, usaha menaik taraf kadar pembayaran gaji itu penting untuk menambah baik kehidupan pekerja, terutama dalam kalangan kakitangan yang berpendapatan rendah.
“Kami harap bayaran gaji minimum RM5,000 sebulan walau apa pun kerja mereka. Pada 2030, kita sasar ini jadi realiti kerana ia bukan sesuatu yang mustahil.
“Yang penting sekarang kita perlu gerakkan usaha sebagai ‘khaddam ummah’ yang berjuang ke jalan Allah.
“Cuma kita mahu orang yakin pada usaha ini demi pembangunan ekonomi Islam,’’ katanya dalam ucapan pra perasmian Malakat Mall Masjid Tanah di sini hari ini.
Majlis pra pelancaran Malakat Mall Masjid Tanah hari ini disempurnakan Mohd. Fadzil bersama Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid), Masridzi Sat.

Mohd. Fadzil berkata, sasaran gaji minimum yang jauh lebih tinggi daripada jumlah yang ditetapkan kerajaan itu mampu dilaksanakan sekiranya semua perancangan perniagaan kumpulan itu berjalan lancar dan terus berkembang.
Menurut beliau, antara perancangan yang telah dan sedang dilaksanakan pihaknya adalah program pembangunan usahawan, rakan niaga, pemilikan syer Koperasi Persatuan Pengguna Islam (KoPPIM), rumah percuma di Muslim Village dan banyak lagi.
Justeru katanya, pembukaan Malakat Mall Masjid Tanah seperti juga di Cyberjaya menawarkan peluang yang sama kepada semua kakitangan yang mana setakat ini 95 peratus daripada pekerja diambil dalam kalangan penduduk setempat.
“Kita ucapkan tahniah kepada anak-anak muda yang bekerja di Malakat Mall, atas kesanggupan mereka kerana bukan mudah untuk dapat anak-anak muda yang sanggup bekerja di pusat beli belah.
“Hari ini biar bangunan Malakat Mall ini menjadi saksi pembangunan ekonomi Islam di Masjid Tanah,’’ katanya.