
CYBERJAYA – Kumpulan perniagaan Malakat atau Malakat Eko-Sistem hari ini melancarkan Teknologi Rangkaian Blockchain Halal (HBN) yang bertujuan menjejak kesahihan maklumat dan data dalam rantaian pembekalan produk halal.
Teknologi pertama di dunia itu dikatakan dapat menyelesaikan keraguan umat Islam terhadap status halal pada sumber dan produk makanan harian seperti daging import, ayam segar, produk tenusu dan sebagainya.
Pengasas HBN yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakat, Mohd. Fadzil Hashim berkata, teknologi itu merupakan inisiatif yang diwujudkan bagi menyelesaikan ‘konflik daging tidak sah halal’ yang dikatakan telah lebih 40 tahun membelenggu pengguna Islam di negara ini.
“HBN adalah sistem penjejakan maklumat halal yang memberi informasi tentang rantaian sumber bahan mentah atau apa-apa sahaja produk makanan bermula dari pengeluar kepada pengguna.
“Ia bukan gantian kepada standard halal Jakim tetapi satu sistem yang memberi nilai tambah kepada kaedah pengesahan halal yang telah sedia ada,” katanya pada majlis pelancaran Teknologi Rangkaian Blockchain Halal (HBN) di Malakat Mall, di sini hari ini.
Majlis dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.
Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) kementerian itu, Datuk Haslina Abdul Hamid; Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Dr. Azahari Sharidan Abu Bakar, Pengarah HBN, Effendy Zulkifli dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Mohd. Fadzil berkata, sistem yang dibangunkan sepenuhnya oleh pakar blockchain Islam tempatan menggunakan platform aplikasi dan laman web itu mampu memberi manfaat kepada 1 bilion pengguna Islam di seluruh dunia.
Kata, sebagai permulaan, teknologi HBN itu akan diguna pakai oleh Malakat Mall melalui Malakat Food dalam pembekalan daging segar tempatan di rangkaian pasar raya dan kedai-kedai runcit milik kumpulan perniagaan itu.

Sementara itu, Effendy berkata, melalui teknologi yang dibangunkan itu, pengguna hanya perlu mengimbas Kod QR yang terdapat pada produk makanan untuk mendapatkan maklumat dan status halal termasuk pengesahan dari Jakim.
“Dengan teknologi blockchain, data mengenai bekalan makanan daripada peringkat pengeluar hingga penjual disimpan dalam bentuk blok yang berangkai dan diedar ke jutaan komputer di seluruh dunia melalui rangkaian internet untuk tujuan penyimpanan dan pengesahan.
“Penggunaan teknologi terkini blockchain ini akan memastikan rantaian bekalan makanan halal terpelihara dan tidak bercampur aduk dengan makanan yang tidak halal sekaligus mengelakkan pemalsuan logo halal Jakim,”katanya.