Maqis rampas sayur dan buah Vietnam bernilai lebih RM80,000

0
135
Maqis Pahang merampas sayur dan buah yang cuba dibawa masuk di Pelabuhan Kuantan pada Ahad lalu

KUANTAN – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pahang berjaya menggagalkan percubaan membawa masuk 22,170 kilogram (kg) sayur-sayuran dan buah-buahan dari Vietnam melalui pintu masuk Pelabuhan Kuantan pada Ahad.

Pengarah Maqis Pahang dan Terengganu, Mohamad Nazrul Hizam Abdul Manaf berkata, pemeriksaan pihaknya kira-kira pukul 3 petang itu menemui limau nipis, kubis bulat, ubi keledek, lobak merah dan ubi bit dalam sebuah kontena yang dianggarkan bernilai lebih RM80,000.

Menurut Mohamad Nazrul Hizam, sayur-sayuran dan buah-buahan tersebut dirampas kerana dipercayai dibawa masuk tanpa permit import yang sah dan tidak mematuhi syarat permit Penggredan, Pembungkusan dan Perlabelan (3P).

“Barang dagangan limau nipis yang dirampas disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728), manakala barang dagangan yang lain akan disiasat di bawah seksyen 15 (1) kerana tidak mematuhi syarat import sepertimana yang dinyatakan dalam permit Maqis,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad Nazrul Hizam, jika sabit kesalahan pihak terbabit boleh dihukum di bawah seksyen 11(3) dan Seksyen 15(2), akta yang sama.

“Pihak Maqis sentiasa menjalankan pemeriksaan di pintu negeri ini masuk bagi memastikan sebarang kemasukan keluaran pertanian sentiasa mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan bagi menjamin biosekuriti negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here