Maritim Johor tahan 5 kapal dagang bersauh tanpa kebenaran

0
82

𝗝𝗢𝗛𝗢𝗥 𝗕𝗔𝗛𝗥𝗨 – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor berjaya menahan lima buah kapal dagang yang dipercayai bersauh tanpa kebenaran di perairan Tompok Utara, di sini, kelmarin.

Lima kapal yang ditahan dalam operasi bermula pada 11.50 pagi sehingga 3.45 petang itu itu direkod dengan tanda nama MT Minerva Grace, Mew Dynasty, MT Alami Sky, MT Yolanda dan MT Castor.

Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria, Pengarah Maritim Negeri Johor berkata, penahanan terbaharu itu menjadikan jumlah penangkapan kapa dagang yang berlabuh tanpa kebenaran di perairan Johor bagi tahun ini adalah 36 buah.

Katanya, dalam tempoh 6 hari Op Jangkar Haram dilaksanakan, pihaknya sudah menahan 18 buah kapal dagang atas kesalahan tersebut.

“Dalam Operasi Khas membanteras saki baki kapal berlabuh ini, empat buah kapal peronda dan sebuah bot Maritim Malaysia terdiri daripada KM TEGAS, KM SATRIA, KM SIBUAN, KM NIAH, dan Bot PENGAWAL 31.

“Kesemua kapal yang ditahan itu memiliki bendera negara asing dan merupakan kapal jenis tangki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, kesemua kapal yang ditahan akan dihadapkan ke mahkahmah dan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Seksyen 491B(1)(l) iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia.

“Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sehubungan itu katanya, Maritim Negeri Johor menasihatkan agar semua jenis kapal yang ingin berlabuh di dalam perairan Malaysia memohon dan mendapatkan kebenaran terlebih dahulu atau segera keluar dari perairan negara ini jika enggan berbuat demikian.

Maritim Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas mengikut lunas undang-undang negara demi kedaulatan, keselamatan dan kesejahteraan perairan negara khususnya perairan Johor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here