Maritim Sandakan rampas barang kawalan termasuk 900 karton rokok

0
86
Anggota Zon Maritim Sandakan bersama barang rampasan yang cuba diseludup ke negara ini melalui Ops Pluto Timur, pagi kelmarin

π—¦π—”π—‘π——π—”π—žπ—”π—‘ – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Zon Maritim Sandakan) berjaya menumpaskan cubaan menyeludup masuk 900 karton rokok putih bersama lebih 400 kilogram (kg) barang kawalan ke negara ini dalam Ops Pluto Timur, awal pagi kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, bertindak atas maklumat risikan, pasukan peronda Maritim Malaysia melakukan pemintasan dan berjaya mengesan dua bot pancung yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, sebaik sahaja menyedari kehadiran bot peronda, kedua-dua bot pancung terbabit memecut laju menghala ke Sungai Luboh. 

β€œKedua-dua suspek kemudian bertindak terjun dari bot dan melarikan diri ke arah hutan bakau berdekatan.

β€œHasil pemeriksaan ke atas bot pertama menemui lapan kotak besar berisi 400 karton rokok putih, manakala enam kotak besar berisi 300 karton rokok jenis yang sama ditemui di atas bot kedua,’’katanya.

Maritim Malaysia turut menemui sebuah pacuan empat roda dan sebuah van disyaki terlibat dalam sindiket tersebut bersama-sama empat kotak berisi 200 karton rokok putih serta tiga kampit beras seberat 50 kilogram (kg) setiap satu, 200 kg tepung gandum, 120 kg gula dan 51 kg minyak masak.

Kesemua barang kawalan yang dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran itu termasuk bot dan kenderaan di bawa ke Pejabat Zon Maritim Sandakan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here