Mesin penapis air antara punca bil elektrik melambung

0
158
Bil elektrik ketika musim panas dilaporkan naik mendadak

CYBERJAYA – Mesin penapis air yang mempunyai fungsi pemanas dan penyejuk dikenal pasti antara punca peningkatan bil elektrik terutamanya ketika cuaca panas yang sedang melanda negara ketika ini.

Ketua Retail Tenaga Nasional Berhad (TNB) Selangor, Ismail Lathifi Teh berkata, peralatan seperti penapis air minuman, peti sejuk dan penyaman udara menggunakan tenaga elektrik yang banyak untuk mengekalkan suhu terutamanya ketika cuaca panas.

“Pada cuaca panas seperti sekarang ini, mesin yang mempunyai kompresor akan menggunakan tenaga yang lebih banyak untuk mengekalkan suhu.

“Jadi lebih kerap kita membuka pintu peti sejuk dan lebih kerap kita mengambil air sejuk daripada penapis air di rumah, lagi banyak tenaga elektrik yang akan digunakan oleh peralatan berkenaan bagi mengekalkan suhu sejuk,” katanya seperti dilaporkan Bernama hari ini.

Sebagai contoh katanya, jika tangki penapis minuman yang menyimpan air sejuk habis ia akan diisi dengan air yang baharu dan kompresor akan berfungsi untuk menyejukkan air berkenaan.

“Jika lebih banyak isian semula berlaku, lebih kerap kompresor berkenaan berfungsi dan ini akan menyebabkan peningkatan penggunaan elektrik,” katanya.

Sementara itu katanya, pengguna dinasihatkan agar menetapkan pemasa pada alat penyaman udara masing-masing selain menetapkan suhu antara 24 hingga 26 darjah Celcius sahaja bagi menjimatkan penggunaan elektrik.

“Pengguna digalakkan menggunakan pemasa yang ada pada penyaman udara masing-masing dan menetapkan agar ia ditutup pada awal pagi kira-kira pukul 2 pagi dan ke atas kerana ketika itu cuaca mulai sejuk dan memasang kipas untuk mengekalkan suhu sejuk di dalam rumah,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Lathifi turut menyarankan kepada pengguna agar melakukan servis terhadap penyaman udara secara berkala agar ia dapat berfungsi dengan lebih efisien dan jimat.

“Saya dapat aduan yang mengatakan mereka (pengguna) tidak menggunakan penyaman udara tetapi kenapa bil elektrik melambung, mereka lupa bahawa barang elektrik lain juga menggunakan elektrik,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here