Natxo Insa dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib FAM

0
185
Natxo Insa menolak pengadil perlawanan ketika JDT bertemu Perak FC

CYBERJAYA – Pemain import Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa akan dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berikutan tindakannya menyerbu dan menyentuh pengadil selepas tamat perlawanan antara pasukan tersebut dan Perak FC, kelmarin.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S. Sivasundaram, tindakan itu diambil berdasarkan bukti rakaman video dan laporan pengadil terhadapnya.

“Selain itu, tindakan juga diambil terhadap pengadil Sabah FC melawan Terengganu FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Ahad lalu.

“Pengadil terbabit telah didapati menunjukkan prestasi yang kurang memuaskan sepanjang perlawanan berlandaskan laporan Penilai Pengadil yang bertugas pada perlawanan tersebut. 

“Justeru, pengadil terbabit telah dikenakan tindakan penggantungan daripada sebarang tugasan perlawanan selama dua minggu secara serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama katanya, pengadil itu juga akan dirujuk kepada Pengurus Pembangunan Pengadil FAM untuk mengikuti program penambahbaikan prestasi sebelum kembali bertugas bermula dari liga divisyen bawah.

Katanya, pengadil itu hanya akan dilantik semula sebagai pengadil perlawanan Liga Super selepas prestasinya dinilai berada pada tahap yang memuaskan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here