Palsukan logo halal, kilang makanan diserbu

0
325
Pemeriksaan KPDNHEP bersama JAIPk di sebuah kilang memproses makanan di Ipoh, semalam.

IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menyerbu sebuah kilang memproses makanan yang menggunakan logo halal palsu di Kawasan Perindustrian Ipoh, semalam.

Pengarah KPDNHEP Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, dalam serbuan hasil maklumat orang ramai itu pihaknya merampas produk makanan berupa roti dan biskut dianggarkan bernilai RM21,623.

Katanya, semasa serbuan dilakukan, pemilik syarikat berkenaan didapati gagal mengemukakan sebarang perakauan sijil halal yang sah oleh pihak berkuasa.

“Anggota penguat kuasa telah menyita dokumen, barangan pembungkusan, bahan mentah dan lain-lain untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Rampasan turut dilakukan membabitkan 400 bungkus biskut yang siap dipek, 24,000 unit beg plastik kosong roti dan 4,345 unit beg plastik kosong biskut yang semuanya menggunakan perbahasan halal,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas kilang juga mendapati syarikat terbabit ada menyimpan barang kawalan iaitu gula dan tepung gandum tanpa permit menyimpan barang kawalan berjadual yang sah.

Bagi kesalahan itu, katanya, sebanyak 285 guni tepung gandum yang setiap satu seberat 25 kilogram bersama 500 kilogram gula pasir telah disita membabitkan nilai RM15,990.

“Kes disiasat di bawah seksyen 7(4) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun, kesalahan yang berikutnya denda tidak melebihi RM3 juta atau kedua-duanya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here