Parlimen perlu bersidang segera-Tun M

0
60
Tun Dr Mahathir Mohamad

LANGKAWI – Tiada lagi alasan dan Parlimen perlu bersidang segera bagi menyelesaikan pelbagai permasalahan negara terutama selepas wakil rakyat diberikan suntikan vaksin Covid-19.

Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tiada sebab untuk menangguhkan lagi sidang Parlimen setelah suntikan diberikan kepada semua wakil rakyat bagi mengekang risiko jangkitan.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, alasan berisiko kepada wakil rakyat berusia atau veteran juga tidak boleh diterima selepas suntikan diberikan termasuk kepada dirinya.

“Kita perlu bincang pelbagai masalah dan cari penyelesaian dalam Parlimen. Umur saya sudah 95 tahun dan kerap hadir ke Parlimen. Sehingga kini tak sakit apa pun sama ada sebelum atau selepas disuntik vaksin.

“Nak bagi alasan kononnya ramai pemimpin berusia, itu bukan alasan untuk tidak adakan sidang Parlimen,” katanya pada sidang akhbar selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 di Langkawi semalam.

Menurut Dr Mahathir, sehingga kini tiada rekod menunjukkan terdapat kes jangkitan berpunca dari Parlimen.

“Jadi, tak ada sebab kenapa kita nak tangguh Parlimen, kononnya kita terdedah kepada jangkitan kalau berada dalam dewan Parlimen.

“Sekarang, sudah ramai wakil rakyat terima vaksin, bermakna tak lagi terdedah pada risiko jangkitan. Keadaan lebih selamat dan boleh bersidang secepat mungkin,” katanya.

Dr Mahathir berkata, persidangan boleh diadakan mengikut norma baharu seperti yang dilakukan sebelum ini.

“Sebelum diberikan suntikan pun kita sudah adakan peraturan bersidang dalam Parlimen, seperti mengasingkan kedudukan wakil rakyat supaya tak dijangkiti. Kalau mereka ke luar negara atau pergi tempat lain, risiko dijangkiti tetap ada,” katanya.

Dalam pada itu katanya, beliau percaya semua wakil rakyat akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tidak akan membantah peraturan yang ditetapkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here