Pasangan kekasih rempuh anggota polis didakwa

0
258
Gambar hiasan

BANGI – Sepasang kekasih yang melanggar lari anggota polis dengan sebuah kereta semasa pemeriksaan di kawasan parkir di Bandar Baru Bangi pada Selasa lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Pekerja kilang, Muhammad Asraf Zulkefli, 19, mengaku bersalah atas dua tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap anggota polis, Mohamad Amirul Yahya yang sedang bertugas ketika itu.

Teman wanita tertuduh, Umiezatul Asyikin Nasrun, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersubahat atas kesalahan sama dan minta dibicarakan.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan (KK) yang boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun, denda atau keduanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa melakukan khianat dengan sengaja merosakkan
motosikal Yamaha Y15 milik Mohamad Amirul sehingga menyebabkan kerugian RM1,060 pada masa, tarikh dan lokasi sama.

Bagi tuduhan itu, didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun, denda atau keduanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fauzan Mohd Nor, yang menawarkan jaminan RM5,000 untuk setiap pertuduhan kepada setiap tertuduh.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 12 April ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini tular di media sosial ‘aksi berani’ seorang anggota polis yang berpaut pada bonet depan sebuah kereta yang dipandu dalam keadaan mencurigakan dan tidak memberi kerjasama ketika ditahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here