Pasar Dato Keramat: Menteri mahu tindakan segera diambil

0
114
Annuar Musa semasa melawat tapak Pasar Dato Keramat yang musnah dijilat api, Rabu lalu.

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mahu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan segera bagi mempercepatkan bantuan kepada peniaga Pasar Dato Keramat yang musnah dalam kebakaran Rabu lalu.

Beliau berkata, tindakan itu termasuk rundingan membabitkan pihak yang berkenaan bagi mempercepatkan pembangunan semula pasar berkenaan.

DBKL dalam kenyataan di Facebook semalam berkata, YBM (menteri) mahu tindakan segera diambil memandangkan kebakaran itu berlaku begitu hampir dengan bulan Ramadan.

“DBKL telah diminta untuk mengambil tindakan segera namun perlu berunding dahulu dengan peniaga-peniaga yang terlibat.

“YBM berharap keputusan dapat diperolehi dalam tempoh yang terdekat,” menurut kenyataan itu.

DBKL memaklumkan, pihaknya dan Yayasan Wilayah Persekutuan akan memberikan bantuan tunai dan keperluan lain kepada pemilik premis yang terlibat.

Kebakaran Pasar Dato Keramat pada petang kelmarin memusnahkan 40 deretan kedai tanpa sebarang kemalangan jiwa.

Ekoran kejadian itu, kaunter pusat bantuan Persatuan Penjaja Pasar Datuk Keramat dibuka bagi membantu golongan peniaga yang terjejas selepas premis perniagaan mereka di pasar itu dijilat api.

Kaunter berkenaan dibuka di kawasan kebakaran bagi mengumpul maklumat mangsa untuk tujuan menyalurkan bantuan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here