Pemain ke-12′ bola sepak dibenarkan masuk stadium

0
127
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Berkuatkuasa 1 April ini kerajaan membenarkan perlawanan bola sepak dalam Liga Malaysia (MFL) dihadiri pemain ‘ke-12’.

Menurut Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebagai permulaan dua perlawanan bola sepak dalam liga itu yang akan dibenarkan dahulu sebagai percubaan untuk menilai keberkesanan Protokol Pengurusan Penonton.

“Atas pandangan serta penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mesyuarat bersetuju untuk membenarkan kehadiran penonton ke stadium dengan syarat kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ialah seramai-10 peratus kapasiti penonton atau 2,000 orang (mana-mana yang lebih rendah) dengan kawalan penyeliaan sepanjang masa.

“Bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemilihan (PKPP) kebenaran diberikan dengan 25 peratus kapasiti penonton atau 8,000 orang (mana-mana yang lebih rendah) dengan kawalan penyeliaan sepanjang masa,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Walaubagaimanapun, katanya, semua penganjuran kejohanan dengan kehadiran penonton adalah tertakluk kepada kebenaran oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Di samping itu, ujarnya, pihak KBS, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM akan turut memantau dan membuat penilaian pematuhan protokol yang ditetapkan khususnya dalam aspek pergerakan, kemasukan dan penyuraian penonton semasa perlawanan tersebut nanti.

Katanya, antara prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi adalah seperti tiket hanya dijual secara dalam talian sahaja dan mesti penjarakan fizikal minima 1.5 hingga 2 meter di antara setiap penonton.

Selain itu, katanya, operasi jualan hanya dibenarkan di kedai sedia ada di kawasan stadium sahaja.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here