Pemandu treler langgar jejambat di SUKE positif dadah

0
70
Dalam kejadian semalam, dua wanita maut dan tiga lagi cedera selepas sebuah treler melanggar jejambat di SUKE sehingga menyebabkan bahan binaan menghempap kenderaan dinaiki mereka

CYBERJAYA – Pemandu treler yang melanggar jejambat dalam pembinaan di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Desa Tun Razak sehingga mengorbankan dua nyawa semalam didapati positif dadah.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, suspek tersebut yang berumur 40 tahun didapati positif dadah jenis methamphetamine selepas ujian saringan air kencing dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Daerah Dang Wangi.

“Dalam kejadian itu, pemandu van kilang, Muhd Fairus Mohd Yusof, 47, mengalami patah tulang bahu sebelah kiri, bengkak pada paru-paru dan berlaku pendarahan dalaman.

“Dua lagi penumpang van Zaitun Zainal, 54, cedera kaki sebelah kiri, manakala Zakiyyah Yakop, 51, cedera betis kiri.

“Mangsa yang meninggal dunia adalah Nurina Edwin Abdullah, 47, dan Norhayati Abdullah,42,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zulkefly berkata, siasatan awal pihaknhya mendapati kemalangan itu dipercayai berlaku apabila treler itu yang melalui Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) melanggar kerangka besi pada pembinaan di jejantas pejalan kaki dan menyebabkan rusuk keluli bersama dengan perancah besi terjatuh di dua-dua laluan tersebut.

Katanya, pelanggaran itu menyebabkan bahan binaan itu menghempap van kilang yang bergerak dari laluan Ampang menghala ke Terminal Bandar Tasik Selatan (TBS).

“Semasa kejadian, van itu dalam perjalanan ke tempat kerja di kilang Sensata Technologies, USJ 1.

“Pemandu treler itu ditahan dan akan direman mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.58 petang itu, dua wanita pekerja kilang maut selepas jejambat dalam pembinaan di SUKE runtuh dan menimpa van pekerja dinaiki mereka manakala dua lagi rakan mereka bersama seorang lelaki yang juga pemandu van itu dilaporkan terselamat dan mengalami kecederaan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here