Pemilihan Exco FAM: Syed Yazid ikrar bela nasib jurulatih tempatan

0
57

Syed Yazid yang merupakan salah seorang daripada 17 calon kerusi Ahli Exco FAM.

KUALA LUMPUR – Membela nasib jurulatih tempatan yang kerap dianaktirikan pasukan-pasukan Liga Malaysia menjadi wawasan besar Syed Yazid Syed Omar sekiranya dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Beliau yang juga Naib Presiden 1 Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (PBKL), adalah salah seorang daripada 17 calon bagi merebut lapan kerusi Ahli Exco (lelaki) FAM menjelang Kongres pemilihan penggal 2021-2025 pada 13 Mac ini.

Anak jati Kampung Baru, Kuala Lumpur itu berkata, nasib jurulatih tempatan sudah lama terpinggir terutama apabila kebanyakan pasukan Liga M lebih cenderung memilih jurulatih dari luar negara dengan kerana kononnya mereka lebih bagus dari tenaga pengajar tempatan.

“Jurulatih tempatan ini sudah mempunyai lesen profesioanl tapi tempat mereka dalam pasukan-pasukan Liga M kerap dinafikan. Perkara sebegini perlu dihentikan.

“Selain itu kita juga perlukan melahirkan lebih ramai jurulatih yang berlesen dan berkelayakan profesional. Mewujudkan Akademi Khas Jurulatih Bola Sepak juga antara syor yang saya akan perjuangkan bersama FAM,” kata Syed Yazid.

Penubuhan akademi itu juga jelasnya, akan membuka satu lagi peluang pekerjaan baharu kepada para jurulatih tempatan supaya ilmu, bakat, pengalaman dan kemahiran mereka mampu diturunkan kepada jurulatih generasi baharu.

“Bola sepak Malaysia juga perlukan lebih ramai jurulatih berlesen pro seperti yang disyaratkan FAM dan AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) dalam melatih pasukan Liga Malaysia.

“Kita tidak mahu lagi ada kes jurulatih tempatan didaftarkan sebagai penolong jurulatih sahaja kerana ketiadaan lesen sehingga pasukan memilih jurulatih import menjadi ketua jurulatih,” kata pemilik sebuah syarikat logistik berusia 43 tahun itu.

Syed Yazid Syed Omar yang memperjuangkan nasib jurulatih tempatan yang dikatakan sering dianak tirikan pasukan bola sepak tempatan.

Syed Yazid merupakan bekas pengurus pasukan Piala Presiden dan Piala Emas Raja-raja Kuala Lumpur.

Selain itu beliau juga pernah menjadi pemangku jurulatih Liga Perdana dan pengurus pasukan Sukan Malaysia (Sukma) Kuala Lumpur serta memiliki Lesen Kejurulatihan C.

Enam penyandang Ahli Exco FAM ialah Datuk Mohd. Hisamudin Yahaya, Datuk Jefferey Low Han Chau, Christopher Raj Aralanthu, Md. Dali Wahid, Datuk Kamarul Ariffin Mohd. Shahar dan Datuk Aminuddin Omar.

Calon pencabar lain termasuk Datuk Seri Shahril Mokhtar, Saaran Nadarajah, Datuk Adly Shah Ahmad Tah, Datuk Shaari Mat Hussain, Abdul Aziz Yeop Jamaludin, Zulkefly Yahya, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad, Mohd. Firdaus Ahmad, Mohd. Yusuri Yusof dan Datuk Kamarudin Hassan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here