Penantian selama 53 tahun warga emas untuk miliki MyKad baharu tercapai

0
155
Leong Choong Keong (tengah) menunjukkan MyKad baharu yang diterimanya daripada Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Ruslin Jusoh (kiri)

CYBERJAYA – Penantian selama 53 tahun seorang warga emas untuk memiliki MyKad baharu akhirnya tercapai apabila Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Ruslin Jusoh turun padang untuk menyerahkan sendiri dokumen pengenalan diri itu kepadanya pada hari ini. 

Menurut JPN dalam satu kenyataan, penerima tersebut, Leong Choong Keong, 65, yang pernah tular mengenai kisah kesusahan hidupnya baru-baru ini masih memegang Kad Pengenalan Plastik (KPP) iaitu kad gantian semasa berusia 18 tahun sehingga sekarang.

“Penerima berkenaan yang dilahirkan pada tahun 1956 pernah memiliki MyKad kali pertama pada tahun 1968 ketika berusia 12 tahun dan masih memegang KPP sehingga sekarang. 

“Keadaan tersebut menyebabkan beliau tidak dapat memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat serta kemudahan-kemudahan lain yang disediakan kerajaan,” katanya hari ini.

Sehubungan itu, menurut JPN, pihaknya melalui Unit Mobile telah mengambil tindakan segera untuk membantu dengan membuat semakan rekod beliau dan seterusnya membuat gantian MyKad tanpa perlu individu berkenaan hadir ke kaunter JPN.

Leong Choong Keong menunjukkan MyKad baharu dan lama miliknya

Katanya, perkhidmatan yang diberikan di bawah Program MEKAR JPN merupakan satu program turun padang dimana urusan pengeluaran dokumen pengenalan diri seperti MyKad, dan sijil kelahiran diberikan kepada golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas, pesakit terlantar dan mereka yang tinggal di pedalaman. 

Katanya, Ianya merupakan pendekatan produktif JPN dalam memastikan setiap penduduk di Malaysia yang layak, dikeluarkan dokumen pengenalan diri yang sah dan sekaligus membolehkan mereka menikmati pelbagai kemudahan yang ditawarkan kerajaan. 

Sementara itu, tambahnya, sehingga 31 Disember 2020, sebanyak 680 program telah dijalankan dengan lebih 12,206 permohonan diterima serta 1,293 khidmat nasihat telah diberikan melalui program itu.

“JPN akan terus komited dalam menjalankan aktiviti turun padang bagi memberi perkhidmatan kepada masyarakat dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan ketika ini untuk mengekang penularan wabak Covid-19. 

“Maklumat lanjut berkenaan Program MEKAR ataupun untuk mendapatkan janji temu bagi perkhidmatan ini, orang ramai boleh menghubungi talian telefon 03-8880 8014/7077 atau emelkan ke mekar@jpn.gov.my,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here