Pendaftaran syarikat dalam blockchain perlu lepasi syarat ketat

0
626
Penggunaan teknologi blockchain yang akan memberi manfaat besar kepada sektor penghasilan dan pembekalan makanan di negara ini. -Gambar hiasan.

CYBERJAYA – Kumpulan Malakat akan mengenakan syarat pematuhan yang ketat kepada syarikat-syarikat yang mahu mendaftar dan menggunakan sistem Rangkaian Blockchain Halal (HBN) bagi memelihara ‘integriti’ aplikasi berkenaan.

Pengasas HBN yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakat, Mohd. Fadzil Hashim berkata, sebagai sistem yang menyediakan khidmat penjejakan status halal, pihaknya akan memastikan tiada ruang untuk berlakunya penyelewengan.

Justeru katanya, sebagai memikul tanggungjawab yang dituntut agama, pihaknya akan menilai setiap permohonan dengan teliti tanpa kompromi sebagai jaminan kepercayaan pengguna terhadap HBN.

“Kami akan meletakkan syarat yang tinggi kepada pengimport daging di negara ini untuk berdaftar dengan HBN.

“Kita akan cukup berhati-hati dengan pendaftaran syarikat-syarikat pengimport daging.

“Ini kerana kita tahu ada puluhan pengimport daging yang sebahagiannya terlibat dalam skandal atau kartel daging tidak halal baru-baru ini,” katanya pada majlis pelancaran Teknologi Rangkaian Blockchain Halal (HBN) di Malakat Mall, di sini hari ini.

Majlis dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) kementerian itu, Datuk Haslina Abdul Hamid; Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Dr. Azahari Sharidan Abu Bakar, Pengarah HBN, Effendy Zulkifli dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Pengasas Malakat Mall ketika berucap pada majlis perasmian Halal Blockchain Network di Malakat Mall.
Teknologi HBN yang akan mengguna pakai kaedah pengimbasan kod QR.

Mohd. Fadzil yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, syarikat pemilik produk yang mahu menggunakan sistem itu juga perlu mengguna pakai kesemua servis yang disediakan HBN.

Mengulas lanjut, sistem yang dibangunkan sepenuhnya oleh pakar blockchain Islam tempatan itu kini di peringkat sudah sedia untuk digunakan.

“Dari segi pengkalan data dan seni bina memang sudah sedia digunakan untuk kegunaan pasaran tempatan.

“Cuma kita belum lengkap untuk kegunaan import sebab kita belum guna untuk urusan import. Tapi itulah antara tujuan HBN diwujudkan,” katanya.

Coach Fadzil berkata, pihaknya telah terima permintaan untuk menggunakan teknologi itu oleh pengeksport-pengeksport daging dari pelbagai negara antaranya India, Pakistan, Sepanyol dan Brazil.

Namun sebagai permulaan, aplikasi itu akan digunakan untuk produk-produk di Malakat Mall manakala penggunaan secara meluas dijangka bermula Ramadan tahun ini melalui kemasukan daging import.

Selain itu katanya, sistem itu juga boleh digunakan untuk pengesanan status halal bagi semua jenis produk yang memerlukan pengiktirafan halal.

Pengesanan teknologi yang menggunakan pengimbasan kod QR itu membolehkan pengguna mengesan rantaian perjalanan sesuatu produk atau bekalan daripada sumber pertama sehingga ke tangan pengguna.

“Ambil contoh daging halal, segala maklumat mengenai tempat ragut, info penyembelihan, pembungkusan dan sebagainya akan dapat dijejak.

“Kemampuan ini secara tidak langsung akan dapat menutup peluang berlakunya penyelewengan atau pemalsuan sesuatu sijil,” katanya.

Pengguna akan disalurkan maklumat terperinci termasuk mengenai asal sesuatu produk halal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here