Penduduk Lembah Klang bakal alami gangguan air lagi

0
136
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Syarikat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menasihatkan penduduk di Lembah Klang menyimpan air secukupnya berikutan kerja-kerja penyenggaraan yang akan dilakukan bermula 30 Mac ini di kawasan terlibat.

Menurut Air Selangor, langkah itu dilaksanakan bagi memastikan perkhidmatan bekalan air yang berterusan dapat diberikan kepada pengguna pada masa hadapan.

“Air Selangor telah mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan aset utama secara berjadual melibatkan kerja-kerja pengalihan dan penyambungan paip baharu berdekatan kilang Carlsberg di Persiaran Selangor Seksyen 15, Shah Alam yang bakal menyebabkan gangguan bekalan air berjadual selama 48 jam.

“Kerja-kerja pengalihan dan penyambungan paip ini akan dijalankan pada 30 Mac ini, jam 9 pagi hingga 9 malam. Kerja-kerja ini telah dijadualkan pada 12 Januari lalu tetapi ditangguhkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, kerja-kerja pengalihan dan penyambungan paip itu juga akan menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di lima kawasan di Petaling, 14 kawasan di Klang dan 11 kawasan di Shah Alam bermula jam
9 pagi.

Air Selangor

Katanya, bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 9 malam, 1 April ini.

Selain itu, katanya, kerja-kerja penggantian injap di jajaran paip air mentah dari Empangan Klang Gates pula akan menyebabkan henti tugas sementara Loji Rawatan Air Bukit Nanas dan Wangsa Maju.

Katanya, situasi itu akan menyebabkan gangguan bekalan air berjadual selama 68 jam.

“Kerja-kerja penggantian injap ini akan dilaksanakan pada 6 April ini, jam 9 pagi hingga 9 malam.

“Berikutan henti tugas ini, 12 kawasan di Gombak dan 46 kawasan di Kuala Lumpur akan mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula jam 9 pagi, 6 April ini.

“Bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya pada 9 April, jam 5 pagi,” ujarnya.

Sementara itu, menurut Air Selangor, orang ramai yang mempunyai pertanyaan boleh melayari laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com.

Katanya, pengguna juga boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter, atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here