Penerima hati pertama negara meninggal dunia

0
193
Mohd. Afiq berada dalam keadaan kritikal selepas tidak sedarkan diri akibat komplikasi hati pada 13 Februari lalu.

CYBERJAYA – Penerima hati pertama negara, Mohd. Afiq Iqmal meninggal dunia di Hospital Selayang hari ini selepas 18 hari bertarung nyawa akibat komplikasi.

Memetik laporan Kosmo, berita sedih itu dikongsikan Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Wan Mohd. Hafizam Wan Ismail.

Wan Mohd. Hafizam yang juga merupakan penderma hati pertama negara berkata, pemergian Mohd. Afiq dimaklumkan oleh keluarganya hari ini.

“Saya menerima panggilan dari ahli keluarga Mohd. Afiq kira-kira pukul 5 pagi. Saya amat sedih dengan berita ini dan hanya doa yang mampu saya berikan.

“Jenazah arwah kini berada di unit forensik Hospital Selayang untuk bedah siasat,” katanya seperti dilaporkan Kosmo pagi ini.

Menurut Wan Mohd. Hafizam, jenazah Mohd. Afiq akan di bawa ke Tikam Batu, Kedah hari ini untuk urusan pengebumian.

Sebelum ini media melaporkan, Mohd. Afiq berada dalam keadaan kritikal selepas tidak sedarkan diri akibat komplikasi hati pada 13 Februari lalu.

Kisah dua individu itu pernah menggemparkan negara pada 23 tahun lalu selepas Wan Mohd. Hafizam mendermakan sebahagian hatinya kepada Mohd. Afiq yang berumur 14 bulan ketika itu walaupun tiada pertalian darah antara mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here