Pengangguran dijangka pulih tahun ini

0
39
Mustapa Mohamed

KOTA BHARU – Kerajaan menjangkakan kadar pengangguran di dalam negara pulih menjelang pertengahan tahun ini berdasarkan perbandingan kadar pada Januari tahun ini dengan Mei tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kadar pengangguran pada Januari 2021 ialah 4.9 peratus iaitu lebih rendah berbanding 5.3 peratus yang dicatatkan pada Mei 2020.

“Pada Mei 2020 peratusan kadar pengangguran ialah 5.3 peratus tertinggi dalam tempoh pandemik COVID-19, namun pada awal tahun ini (kadar pengangguran) berada hanya 4.3 peratus.

“Diharap keadaan akan semakin pulih, kita jangka menjelang pertengahan tahun ini keadaan akan semakin stabil,” katanya memetik laporan Bernama.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Malaysia Prihatin Sesi Bersama Pegawai Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan di, Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Program anjuran Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama kerajaan Kelantan itu merupakan inisiatif untuk memberi penerangan kepada rakyat secara berperingkat mengenai pentingnya pengurusan pandemik COVID-19 ke arah proses pemulihan ekonomi negara.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Sementara itu, Takiyuddin berkata Menteri dan Timbalan Menteri dari negeri ini telah menubuhkan Majlis Bersama Pembangunan Negeri Kelantan bertujuan menyelaras pembangunan di negeri ini.

“Majlis Bersama Pembangunan Negeri Kelantan ini disertai Menteri, Timbalan Menteri dari negeri ini bersama-sama Menteri Besar (Datuk Ahmad Yakob) dan Exco-exco negeri bertujuan mengadakan rundingan untuk selaraskan pembangunan di seluruh negeri.

“Pengerusi di peringkat persekutuan dan pengerusi negeri juga telah dilantik melalui penubuhan sekretariat,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here