Kerajaan perkenal program penyelesaian tanpa perlu ke mahkamah menerusi PMC-19

0
329
PMC-19

CYBERJAYA – Kerajaan telah megambil inisiatif tambahan dengan memperkenalkan peruntukan mengenai mediasi di Seksyen 9 Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 [Akta 829].

Melalui inisiatif itu, sebarang pertikaian yang timbul dalam mana-mana kategori kontrak yang dinyatakan di dalam Jadual Seksyen 7 akta berkenaan boleh diselesaikan melalui mediasi tanpa melalui proses litigasi (penyelesaian di mahkamah). 

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkata, Menteri yang bertanggungjawab terhadap undang-undang mempunyai kuasa untuk menentukan proses mediasi di mana persetujuan antara kedua-dua pihak yang bertikai boleh disahkan melalui Perjanjian Penyelesaian yang bersifat mengikat. 

“Justeru, kerajaan menubuhkan Pusat Mediasi Covid19 (PMC-19) bagi memudahkan proses mediasi yang timbul daripada ketidakupayaan melaksanakan kewajipan kontrak akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik Covid-19 di bawah Seksyen 9 Akta 829. 

“Nilai pertikaian untuk proses mediasi di bawah PMC-19 adalah tidak melebihi RM500,000. Mediasi merupakan suatu proses perundingan yang dijalankan secara sukarela, cepat dan berkesan tanpa melalui proses mahkamah serta merupakan salah satu kaedah penyelesaian di bawah kategori penyelesaian pertikaian secara alternatif. 

“Mediasi boleh dijalankan antara dua pihak atau lebih dengan cara mendapatkan bantuan pihak ketiga yang terlatih dan tidak berat sebelah iaitu mediator, untuk membantu pihak-pihak merundingkan perjanjian yang saling menguntungkan dan boleh diterima oleh pihak-pihak yang bertikai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, persetujuan yang diperolehi selepas proses mediasi akan direkodkan secara bertulis sebagai Perjanjian Penyelesaian, ditandatangani dan bersifat mengikat pihak-pihak-pihak yang bertikai.

“Jika mana-mana pihak ingkar terhadap Perjanjian Penyelesaian, pihak yang terkesan boleh mengambil tindakan mahkamah terhadap pihak yang ingkar tersebut. 

“Terdapat banyak sebab mengapa kerajaan mengamalkan mediasi sebagai cara menyelesaikan pertikaian berbanding proses litigasi atau lain-lain bentuk penyelesaian pertikaian alternatif.

“Kos mediasi adalah lebih rendah dan masa yang diambil adalah lebih singkat berbanding kos dan masa keseluruhan proses litigasi. Kelebihan proses mediasi yang ketara ialah jaminan kerahsiaan.

“Semua maklumat, konsesi, pendedahan dan pengakuan yang dibuat semasa keseluruhan proses mediasi adalah “tanpa prejudis”, sulit dan hanya terhad kepada pihak-pihak dan mediator yang terlibat,” katanya.

Selain itu katanya, tiga fungsi utama PMC-19 ialah menerima dan memproses permohonan mediasi berkaitan Covid-19, menyelaras pelaksanaan proses mediasi di bawah PMC-19 dan melantik mediator yang berkelayakan bagi membantu proses mediasi. 

“Kerajaan telah membangunkan sebuah portal untuk menerima permohonan mediasi di bawah PMC-19. Portal ini boleh dianggap sebagai yang pertama seumpamanya di Malaysia di mana aplikasi mediasi diformalkan melalui pendigitalan. 

“Kerajaan juga telah menjalinkan kerjasama strategik bersama tiga Penyedia Perkhidmatan Pengantaraan (MSP) iaitu Malaysian Bar, Sabah Law Society dan Advocates Association of Sarawak untuk menjalankan perkhidmatan mediasi di bawah PMC-19. 

“Mediator yang dilantik oleh kerajaan untuk menjalankan proses mediasi di bawah PMC-19 adalah individu yang terlatih dan berpengalaman dengan latar belakang dan kepakaran yang berbeza,” katanya.

Dalam pada itu katanya, perkhidmatan mediasi disediakan pada kadar yang berpatutan iaitu sebanyak RM2,000 bagi setiap sesi (4 jam) selain kerajaan juga menyediakan subsidi perkhidmatan mediasi kepada individu di bawah kategori B40, M40 serta Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) daripada kategori mikro dan kecil yang didaftarkan di Malaysia.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here