Pesakit kencing manis kronik tidak digalakkan makan mangga harum manis

0
178
Mangga harum manis

ARAU – Pesakit yang menghidap penyakit kencing manis tahap kronik dengan bacaan paras gula mencecah paras 30 dan ke atas tidak digalakkan untuk makan mangga harum manis.

Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuteraan Kimia Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Dr. Noor Shazliana Aizee Abidin berkata, ia kerana harum manis mempunyai kandungan gula yang tinggi. 

DR. Noor Shazliana Aizee Abidin

Noor Shazliana berkata, mereka yang mempunyai bacaan paras gula dalam darah antara 18 dan ke bawah pula hanya disyorkan makan sekitar dua hiris buah berkenaan sekali makan.

Walaupun harum manis mempunyai kandungan gula yang tinggi katanya, fungsi serat di dalam mangga itu mampu memperlahankan pengeluaran gula buah itu di dalam darah secara perlahan-lahan.

“Bagi mereka yang sudah ada kencing manis tidak sesuai makan dalam kuantiti yang banyak,sekitar dua hirisan sahaja sekali makan.

“Bagi mereka yang normal pula, sesuai ambil sebiji sekali makan kerana boleh memberi tenaga, khasiat, serat dan mineral semula jadi. 

“Yang mengalami masalah kencing manis di tahap bacaan paras gula dalam darah sehingga 30 dan ke atas tidak digalakkan makan,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Sebagai rekod, bacaan brix kemanisan mempelam harum manis boleh mencecah sehingga 25-26.

Menurut, Noor Shazliana harum manis Perlis juga mempunyai banyak khasiat selain kaya dengan vitamin dalam buah berkenaan.

“Harum manis Perlis mengandungi khasiat seperti zat besi, selenium, I-glutathione dan beta carotene. Kajian turut mendapati harum manis Perlis diperkayakan dengan vitamin A, C, B6, B9 dan E,” katanya.

Dalam pada itu katanya, pihaknya dengan kerjasama pengusaha harum manis dari koperasi Y.A menghasilkan produk hiliran berdasarkan harum manis bergred rendah seperti susu harumanis, mee, spaghetti dan pelbagai lagi produk. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here