Polis saman polis, 146 saman dikeluarkan

0
155
Berapa kenderaan milik warga PDRM diperiksa dalam OP Khas hari ini

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) hari ini melakukan pemeriksaan mengejut menerusi OP Khas (Pemeriksaan Kenderaan) di pintu masuk Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini

Menurut JSPT dalam satu kenyataan, pemeriksaan itu dibuat rentetan isu tindakan penguatkuasaan ‘terpilih’ oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang kerap diperkatakan masyarakat.

Katanya, dakwaan tersebut adalah tidak benar kerana tindakan penguatkuasaan yang dilakukan adalah secara menyeluruh dan pegawai, anggota dan pegawai awam di bawah PDRM juga tidak terkecuali.

“Objektif utama operasi pemeriksaan mengejut diadakan di pintu masuk Ibu Pejabat Polis Bukit Aman adalah untuk memeriksa kenderaan yang digunakan oleh warga kerja PDRM yang tidak mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya terutama pada mereka yang mengubahsuai kenderaan dan menggunakan nombor pendaftaran ‘fancy’.

Seorang anggota JAS memeriksa ekzos sebuah motosikal

“Sebanyak 280 kenderaan telah diperiksa di mana hasil operasi ini berjaya mengeluarkan 146 jumlah saman atas pelbagai kesalahan seperti nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi (fancy) , tiada cermin sisi, tiada cukai jalan dan ubahsuai ekzos,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, operasi itu melibatkan seramai 15 pegawai dan 35 anggota JSPT.

Selain itu, katanya, operasi itu turut disertai lima pegawai Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard (JIPS) serta seorang pegawai dan empat anggota daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“PDRM kekal tegas dalam memastikan pegawai dan anggotanya agar sentiasa patuh dan mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya supaya dapat menjadi teladan kepada masyarakat amnya,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here