Polis selamatkan 38 kanak-kanak Myanmar dipercayai mangsa pemerdagangan manusia

0
471

KUALA LUMPUR – Sebanyak 38 kanak-kanak warga Myanmar dipercayai mangsa pemerdagangan manusia berjaya diselamatkan pihak polis pada 14 Januari lalu.

Menurut laporan portal Astro Awani, kesemua mangsa diselamatkan ketika pihak polis sedang memeriksa sebuah kilang memproses pelitup muka di Selayang.

Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, serbuan pada kira-kira pukul 8.30 malam itu dilaksanakan oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

“Tangkapan telah dibuat terhadap tiga lelaki dan tiga wanita berumur di antara 21 hingga 41 tahun yang berperanan sebagai majikan dan pemilik kilang selain penyelia, pembantu serta penjaga.

“Seramai 38 orang mangsa kanak-kanak warganegara Myanmar berumur antara 13 hingga 18 tahun telah berjaya diselamatkan dalam operasi tersebu,” kata Arifai.

Beliau menambah, siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 (Akta 670) kerana disyaki menggaji dan melakukan eksploitasi kerja paksa terhadap (38) orang mangsa di bawah umur.

Kesemua mangsa kini ditempatkan di Rumah Perlindungan Kanak-Kanak Rembau, Negeri Sembilan dan Rumah Perlindungan Bukit Senyum, Johor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here