Polis sudah kenal pasti pemilik Facebook Mujahidah Malaysia

0
294
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed

CYBERJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti dan akan mengambil keterangan individu yang bertangungjawab ke atas satu video tular yang cenderung menghasut orang ramai menentang isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama Kristian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, siasatan telah dijalankan ke atas pemilik akaun Facebook ‘Mujahidah Malaysia’ dan telah mengesan beberapa kenyataan mempertikaikan keputusan mahkamah tinggi.

Beliau berkata, kandungan klip video berdurasi selama 12 minit 34 saat yang dikongsikan individu tersebut juga bersifat menghasut dasar agama selain perkauman.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana kecenderungan menghasut serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Suspek bagi kes ini juga telah dikenalpasti dan individu terbabit akan hadir ke Bukit Aman untuk memberi keterangan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Huzir, PDRM menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tindak menggunakan platform berkenaan sehingga boleh mendatangkan kegusaran serta mengganggu gugat keharmonian negara.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja mengancam ketenteraman serta keselamatan awam,” tegas beliau.

Sebelum ini, tular satu klip video berdurasi 12 minit 34 saat memaparkan seorang wanita mempertikaikan penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama Kristian seperti yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac lalu.

Menerusi video berkenaan, wanita tersebut mempersoalkan penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain selain menyifatkan kalimah tersebut adalah ekslusif kepada penganut agama Islam dan tidak seharusnya dikongsi.

Wanita berkenaan turut mempersoalkan di mana Jabatan Agama Islam, mufti agama, wakil-wakil Sultan serta mereka yang menjadi ketua agama dan bagaimana perkara ini boleh terjadi selain menyatakan kekecewaannya berhubung perkara itu yang disifatkan sebagai amat memalukan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here