Polis tingkatkan pemantauan susulan ugutan diplomat Korea Utara

0
265

Kaunselor Kedutaan Korea Utara di Malaysia, Kim Yu-Song ketika menemui media sebelum diusir keluar dari Malaysia, kelmarin.

KUALA LUMPUR – Polis telah meningkatkan pengawasan di lokasi-lokasi strategik negara berikutan kenyataan berbaur ugutan yang dikeluarkan Kaunselor Kedutaan Korea Utara di Malaysia, Kim Yu-Song, kelmarin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, polis sentiasa mengambil tindakan berhati-hati supaya tiada kejadian buruk berlaku kepada negara.

“Kita sentiasa mengambil tindakan berhati-hati kalau sekiranya berlaku tindakan tidak baik kepada negara.

“Saya juga sudah arahkan kepada semua ketua polis negeri dan pengarah saya untuk memantau situasi ini sebab ia belum reda lagi dan tak tahu bila akan reda,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Kelmarin, kesemua kakitangan diplomatik Kedutaan Korea Utara pulang ke negara mereka susulan keputusan Pyongyang pada Jumaat, untuk menamatkan hubungan diplomatik dengan Kuala Lumpur.

Terdahulu, Pyongyang mengumumkan pihaknya menamatkan hubungan diplomatik dengan Malaysia, selepas mahkamah Malaysia memutuskan seorang ahli perniagaan Korea Utara boleh diekstradisi ke Amerika Syarikat, untuk menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, apa yang berlaku bukan disebabkan Malaysia memusuhi Korea Utara tetapi disebabkan negara itu sendiri yang memutuskan hubungan diplomatik dengan negara.

Beliau berkata,sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan diambiloleh mahkamah negara, mereka perlu membuat aduan mengikut protokol antarabangsa dan tidak mengambil tindakan mengikut sesuka hati mereka.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here