Prebet Adam meninggal dunia

0
452
Prebet Adam atau nama sebenarnya Adam Jaafar

GEORGETOWN – Prebet Adam atau nama sebenarnya Adam Jaafar yang pernah menggemparkan negara kerana mengamuk di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada 17 Oktober 1987, meninggal dunia semalam.

Allahyarham meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP), berita berkenaan dimaklumkan oleh adik lelakinya Arzat Jaafar menerusi satu hantaran di laman Facebooknya semalam.

Prebet Adam pernah menggegarkan negara dengan satu peristiwa amukan berdarah di Chow Kit, kira-kira 32 tahun lalu yang mengakibatkan seorang lelaki terbunuh akibat terkena tembakan rambang yang dilepaskannya.

Prebet Adam yang berumur 26 tahun ketika kejadian, terlepas daripada hukuman mati dan dihantar ke Hospital Tanjung Rambutan selama 10 tahun kerana disahkan tidak siuman ketika melakukan kesalahan berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Bernama melaporkan Prebet Adam yang berumur 57 tahun dilaporkan meninggal dunia akibat jangkitan pada paru-paru kira-kira pukul 9 pagi semalam ketika menerima rawatan di HPP.

Menurut adik Allahyarham iaitu yang dikenali sebagai Hawa, jenazah dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Datuk Keramat selepas solat Zohor.

“Sebelum ini abang memang tiada sakit apa-apa, Allahyarham sihat sahaja cuma kadang-kadang demam, itu biasalah… cuma minggu lepas dia masuk hospital dan pemeriksaan doktor kata ada jangkitan kuman pada paru-paru,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Hawa berkata Adam, anak sulung daripada lapan beradik, adalah seorang abang yang sentiasa mengambil berat tentang adik-beradik lain dan mereka sekeluarga merasa sedih dengan pemergian abangnya itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here