Sejarah tercipta di Masjid Tanah – Coach Fadzil

0
603
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Brainy Bunch, Mohd. Fadzil Hashim

SEJARAH tercipta di Masjid Tanah, Melaka apabila sebuah pusat beli-belah milik usahawan Islam bangkit di tengah-tengah negeri yang penuh bersejarah ini.

Malakat Mall Masjid Tanah yang dibuka semalam merupakan cawangan kedua selepas pembukaan cawangan pertama di Cyberjaya, genap setahun lalu.

Mengimbau semula ucapan pengasasnya semasa perasmian pusat beli belah itu, nama Malakat katanya diambil sempena nama Melaka, juga disebut ‘Malakat’ oleh saudagar Arab yang membawa maksud tempat berhimpunnya para pedagang.

Bertapaknya Malakat Mall di Melaka hari ini sama ada secara kebetulan atau tidak, memberi pengertian tersendiri kepada umat Islam khususnya penduduk di daerah ini.

“Sejarah Melaka mempunyai maksud yang besar bagi kita umat Islam baik dari segi sejarah mahupun ekonomi.

“Kita berharap permulaan ini akan mengembalikan zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka suatu ketika dahulu.

“Pasar yang kita bina ini juga diharap akan menjadi pusat aktiviti ekonomi, agama dan sosial,” demikian ucapan Mohd Fadzil atau lebih dikenali sebagai Coach Fadzil pada 13 Mac tahun lalu.

Malakat Mall Masjid Tanah

Antara azam dan iltizam beliau melalui pembukaan Malakat Mall adalah untuk mengembalikan semula kuasa ekonomi kepada orang Melayu selaku ‘tuan tanah’ dan membebaskan diri daripada penjajahan ekonomi oleh syarikat asing.

Namun katanya, sebelum umat Islam dapat mengulangi zaman kegemilangan Melaka sebagai pusat ekonomi dunia, usaha perlu digerakkan untuk membangunkan eko-sistem ekonomi Islam di negara ini.

Yang pasti, pembukaan Malakat Mall di Masjid Tanah seperti juga di Cyberjaya, bakal menjadi mercu tanda baharu pembangunan ekonomi di kawasan sekitar khususnya di negeri ini.

Namun dalam keadaan ekonomi yang masih tidak menentu sekarang, pasti ramai yang curiga untuk melihat sebuah lagi pusat beli belah dimajukan. Cuma situasinya sedikit berbeza dengan apa yang sudah dibuktikan Malakat Mall.

Dengan izin Allah dan penyokong-penyokong ekonomi Islam, Malakat Mall di Cyberjaya adalah contoh kejayaan yang nyata.

Ia tidak menjanjikan sebuah mall yang sarat dengan kemewahan dan hiburan, tetapi apa yang menjadi keutamaan pada ketika ini adalah membina asas pembangunan yang dapat menyatukan semula kuasa ekonomi ummah.

Kejayaan Malakat Mall di Cyberjaya juga membuktikan kepada kita semua bahawa usaha untuk berniaga tidak terlalu sukar seperti acuan sistem ekonomi kapitalisme.

Pengunjung mengunjungi Malakat Mall Masjid Tanah pada hari pertama pelancarannya, semalam.

Bahkan golongan usahawan yang bernaung di bawah payung Malakat dipermudah dan diberi dorongan melalui ruang perniagaan tanpa sewa di premis yang gah itu.

Peluang yang bernilai besar dalam situasi ‘tenat’ berdepan kemelut ekonomi pasca Covid-19 itu sudah tentu tidak ditawarkan di mana-mana di dunia ketika ini.

Begitu juga dengan peluang-peluang pekerjaan yang ditawarkan. Pada minggu lalu, sebelum mall di Masjid Tanah ini dibuka, sekurang-kurangnya 100 orang warga tempatan telah diterima bekerja.

Ini sudah tentu menjadi peluang terbaik untuk anak-anak muda, pelajar lepasan sekolah, kolej dan universiti memulakan kerjaya.

Bukan sahaja peluang dalam kerja-kerja bertaraf kontrak, pengamatan penulis di Malakat Mall juga menyaksikan bagaimana pengurusan mall itu memberi kepercayaan kepada golongan muda memikul tanggungjawab besar dalam tugas-tugas pengurusan perniagaan.

Ada yang belum pun mencecah umur 30 tahun sudah ditawarkan jawatan pengurus dalam kalangan 40 jenama perniagaan milik Malakat Mall.

Di Malakat Mall Cyberjaya juga, kemudahan berniaga untuk usahawan termasuk ‘usahawan hujung minggu’ yang sebahagiannya baru sahaja mula berniaga disediakan di ruang yang cukup selesa.

Tidak cukup dengan itu, ‘perkampungan’ usahawan pada setiap hujung minggu di ‘bazar’ Malakat Mall turut dihebahkan oleh pasukan promosi mall yang bekerja siang dan malam untuk menarik orang ramai datang atau berbelanja secara online.

Dalam konteks ini, Malakat Mall Masjid Tanah sudah tentu akan mengguna pakai acuan yang sama dan menikmati peluang yang sama seperti yang ada di Cyberjaya.

Bagi golongan usahawan setempat pula, inilah masa terbaik untuk mengintai peluang-peluang yang ada bagi meluaskan pasaran produk atau bertapak secara lebih kukuh.

Kesan daripada aktiviti ekonomi di situ juga diharap akan memberi impak ekonomi yang lebih baik kepada penduduk dan peniaga di kawasan sekitarnya.

Itu kejayaan di Melaka, tidak lama lagi kita bakal menyaksikan satu lagi cawangan Malakat Mall dibuka, berkemungkinan di Ipoh, Perak yang akan menjadi pemangkin ekosistem ekonomi Islam di bahagian utara Semenanjung.

Usaha pengembangan bisnes Malakat yang kini sedang dalam perbincangan termasuklah di Kelantan, Terengganu dan Pahang. Dalam kenyataan terbaharu Coach Fadzil, beliau mensasarkan pembukaan 10 lagi Malakat Mall pada tahun ini. Amin.

Program pembangunan usahawan yang giat dianjurkan oleh Malakat Mall sebelum ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here