[VIDEO] Sekolah dibuka semula, ibu bapa letak harapan tinggi pada pihak sekolah

0
104
Permulaan sesi persekolah Tahun Satu dan Tahun Dua di Sekolah Kebangsaan Seri Permaisuri, Cheras hari ini.

KUALA LUMPUR – Pembukaan semula sesi persekolahan bagi murid Tahun Satu dan Dua di seluruh negara bermula hari ini selepas ‘cuti panjang’ akibat penularan Covid-19 memberikan harapan tinggi kepada ibu bapa, murid dan pihak sekolah.

Permulaan rutin dalam suasana dan amalan norma baharu itu juga diharap dapat menggantikan kaedah Pembelajaran dan Pembelajaran di Rumah yang menimbulkan pelbagai keresahan dan keluhan ibu bapa dan guru.

Pembukaan pintu-pintu sekolah yang membolehkan murid-murid kembali ke bilik kelas dan melalui pembelajaran secara bersemuka hari ini juga diharapkan dapat menyambung semula tuntutan pendidikan anak-anak yang tergendala sejak penutupan sejak 9 November lalu.

Namun dalam penularan Covid-19 yang masih belum berakhir, ibu bapa meletakkan harapan yang tinggi kepada pihak sekolah dan kerajaan dalam memantau pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) mengikut penetapannya.

Walaupun sudah berminggu-minggu melakukan persiapan, reaksi kelam kabut menguruskan kemasukan anak-anak dalam norma baharu jelas kelihatan pada raut wajah ibu bapa hari ini.

Ibu bapa letak kepercayaan tinggi pada pihak sekolah
Pemeriksaan suhu badan oleh pihak sekolah kepada setiap murid.

Tinjauan Malakat Tribune di Sekolah Kebangsaan Seri Permaisuri, Cheras hari ini menyaksikan pelbagai gelagat anak-anak yang lengkap berseragam dengan pemakaian pelitup dan pelindung muka.

Walaupun kerajaan baru-baru ini mengumumkan kelonggaran untuk berpakaian biasa sehingga 26 Mac ini, tidak kelihatan murid-murid yang tidak mengenakan seragam sekolah.

Keberadaan orang ramai di pekarangan sekolah berkenaan pada pagi ini turut dikawal oleh pihak polis bagi memastikan tiada pelanggaran SOP.

Pihak sekolah menyediakan laluan masuk ke sekolah untuk pematuhan jarak fizikal.

Pihak sekolah juga dilihat melakukan persiapan rapi dari segi penyediaan laluan masuk murid ke sekolah, pemeriksaan suhu badan dan penjarakan fizikal.

Bagi bapa murid, Mohd Izzat Ishak, persediaan sesi persekolahan bermula sejak beberapa minggu lalu selepas kerajaan mengumumkan sekolah akan dibuka semula.

Katanya, selain menyediakan kelengkapan persekolahan anak, perkara paling utama yang dititikberatkan adalah memastikan mereka tidur dan bangun lebih awal.

Mohd. Izzat berkata, dia juga berpuas hati dengan persiapan dan langkah-langkah yang diambil oleh pihak sekolah khususnya dalam aspek kebersihan.

“Masih ada kerisauan sebab penularan Covid-19 masih lagi tinggi di Lembah Klang tapi saya lihat pihak sekolah ada melakukan sanitasi dan kita harap ia diteruskan secara berkala,” katanya.

Noorhamilah Abd Rahman

Bagi ibu murid Tahun Satu, Noorhamilah Abd Rahman, persediaan paling utama yang ditekankan kepada anak-anak adalah dari sudut mental dan pemahaman kepada pematuhan SOP.

Katanya, dia banyak memberi nasihat mengenai cara penggunaan pencuci tangan, pemakaian pelitup muka dan sentiasa menjaga jarak antara satu sama lain.

Juliana Jamaludin

Sementara itu, ibu murid, Juliana Jamaludin, berharap pihak sekolah dapat sama-sama memberi penekanan kepada murid-murid mengenai SOP terutama pada hari-hari awal permulaan persekolahan.

“Mungkin sepanjang minggu ini anak-anak perlu sentiasa diingatkan dengan SOP… apa yang boleh dan tidak boleh semoga ia menjadi amalan biasa anak-anak.

“Saya rasa pihak sekolah juga perlu memberi perhatian kepada garis panduan pengurusan pembukaan semula sekolah yang dikeluarkan oleh kerajaan baru-baru ini,” katanya.

Pemeriksaan suhu badan oleh pihak sekolah kepada setiap murid.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here