
KOTA BHARU – Selangor dan Pahang akan berentap di pentas akhir esok dalam Pertandingan Bahas Piala Pusingan Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) Peringkat Kebangsaan 2021.
Kedua-dua pasukan mara ke pentas akhir yang akan diadakan di Hotel Perdana di Kota Bharu, Kelantan selepas menewaskan lawan masing-masing di peringkat separuh akhir semalam.

Pada peringkat separuh pertama, Pahang berjaya mengenepikan cabaran Perak manakala dalam separuh akhir kedua, Selangor berjaya menidakkan cabaran dan hujah pasukan Sabah.
Peringkat separuh akhir diadakan di H-Elite Hotel di Kota Bharu semalam dan Pentas akhir diadakan di Hotel Perdana esok bersempena perasmian Gerakan Massa: Terima Kasih Cikgu 2021.

Pertandingan Bahas Piala Pusingan YGMB Peringkat Kebangsaan 2021 telah diadakan sejak 16 Mac lalu bagi peringkat saringan yang berlangsung secara dalam talian sehingga 19 Mac.
Sementara itu, wakil kumpulan Selangor, Siti Habibah Juddin (SMK Taman Sri Muda) berkata, Selangor menerima saingan yang sengit di peringkat saringan dan separuh akhir sebelum layak ke pentas akhir.

“Persaingan cukup hebat, bukan calang-calang guru yang sertai persaingan bahas kali ini. Mungkin sudah lama tidak dianjurkan, semua teruja untuk menjuarainya,” katanya.

Selain Siti Habibah, Selangor turut diwakili oleh Aisah Abdullah (Kolej Vokasional Klang), Muhamad Hakim [email protected] (SK Kuala Kubu Bharu) dan Syed Fahmi Syed Isa (SK Pulau Indah 2).
Peserta Pahang pula terdiri daripada Nasrul Isyam Abdul Hamid (Kolej Matrikulasi pahang), Mohd Muzammil Ab Rahim (SK Seri Terentang), Mohd Norhamdan Rosli (SMK Seri Bentong) dan Ahmad Baihaqi Muhammad Yunus (SMK P Methodist).

Johan Pertandingan Bahas Piala Pusingan YGMB Peringkat Kebangsaan 2021 akan membawa pulang hadiah berupa piala pusingan, wang tunai RM5,000, trofi dan keahlian YGMB secara selama setahun. Tempat kedua wang tunai RM4,000 dan trofi.
Tempat ketiga akan membawa pulang wang tunai RM3,000 beserta trofi dan tempat keempat wang tunai RM2,000 beserta trofi. Pembahas terbaik pula akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM500.