
GEORGETOWN – Seminar Merak yang dianjurkan oleh Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) dan Yayasan Pesona diyakini dapat mempertingkatkan tahap profesiolisme warga pendidik di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, seminar itu dapat membantu guru-guru mempertingkatkan kreativiti mereka dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP).

“Seminar Merak ini merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) YGMB untuk membantu warga pendidik mempertingkatkan tahap profesionalisme mereka.
“Ini merupakan program usahasama dengan Yayasan Pesona untuk membantu guru-guru khususnya untuk tingkatkan kreativiti mewarnai proses PdP di bilik darjah sesuai dengan tema Merak.
“Yayasan Pesona ini diterajui oleh Ikon Pembelajaran Abad Ke-21, Datuk Aznil Nawawi atau lebih dikenali dengan gelaran Pak Nil,” katanya ketika ditemui Malakat Tribune di Seminar Merak semalam.

Program Merak yang diadakan di The Top di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) itu melibatkan 150 peserta dan telah dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad.
Antara pengisian seminar itu ialah tanda bacaan, lontaran vokal, kelajuan bertutur, jerit bisik, diskripsi, penekanan, lakonan, audien, mesra kamera selain peserta juga diberikan latihan amali secara berkumpulan.

Menurut Wan Munadi, Seminar Merak itu dikendalikan sendiri oleh Pak Nil yang mempunyai pengalaman luas dalam pengacaraan dan mampu memberi tunjuk ajar dalam bidang berkenaan kepada guru.
“Bagaimana Merak digambarkan dengan warna warni begitulah kita mahu guru-guru memanfatkan segala pengalaman yang ada pada Pak Nil selama lebih 30 tahun dalam industri.
“Pengalaman dan perkongsian dalam Seminar Merak ini boleh digunakan di dalam bilik darjah dalam melaksanakan kaedah pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) yang lebih berkesan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, YGMB sememangnya bercadang untuk meluaskan seminar berkenaan ke seluruh negara namun, bergantung kepada kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
“Kita harap hasil Seminar Merak yang telah di adakan di Terengganu, Pulau Pinang dan disusuli ke negeri-negeri lain dapat membolehkan lebih ramai warga pendidik mendapat manfaat.
“Kita sangat berharap dan menyeru JPN bersama-sama dengan YGMB dalam mengendalikan seminar ini kerana kerana maklum balas dan manfaatnya wajar dikembangkan ke seluruh negara.

“YGMB merancang untuk jadikan seminar ini program tahunan atau mungkin dikembangkan dalam bentuk lain. Kita mahu terapkan pengalaman Pak Nil atau tokoh-tokoh lain yang boleh membantu warga pendidik menambah daya kreativiti dalam bilik darjah,” katanya.