Semua menteri UMNO kekal dalam Kabinet – Perdana Menteri

0
232
Tan Sri Muhyiddin Yassin

CYBERJAYA – Semua menteri Kabinet daripada UMNO bersetuju untuk terus kekal berada dalam barisan Kabinet demi kepentingan rakyat dan negara.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan tersebut diambil selepas kesemua barisan menteri itu menemuinya untuk mendapatkan nasihat susulan keputusan Perhimpunan Agung UMNO yang mahu memutuskan hubungan dengan Bersatu.

“Saya telah menasihati mereka supaya terus kekal dalam Kabinet. Ini mengambil kira kepentingan rakyat dan negara.

“Pada masa ini tumpuan utama kerajaan adalah untuk memerangi Covid-19, melaksanakan program imunisasi kebangsaan dan memulihkan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin berkata, pada masa ini juga beberapa menteri daripada UMNO memegang portfolio penting berkaitan fokus utama kerajaan.

“Justeru saya tidak mahu peletakkan jawatan mereka dari Kabinet menjejaskan segala perancangan kerajaan untuk mengatasi masalah Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“Alhamdulillah atas nasihat yang saya berikan, kesepakatan telah dicapai bahawa semua menteri UMNO akan terus kekal berada dalam Kabinet.

“Dengan kesepakatan ini saya memberi jaminan Kabinet akan berfungsi seperti biasa dan segala inisiatif kerajaan akan dilaksanakan seperti dirancang,” katanya.

PAU 2020 yang berakhir Ahad lalu memutuskan tiada kerjasama dengan Bersatu

Semalam, semua menteri UMNO yang diketuai oleh Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertemu dengan Perdana Menteri bagi membincangkan kedudukan mereka dalam Kabinet.

Ia susulan daripada keputusan Perhimpunan Agung UMNO kelmarin untuk memutuskan kerjasama dengan Bersatu.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here