[VIDE0] Sesi persekolahan Brainy Bunch bermula hari ini

0
198
Murid Sekolah Antarabangsa Brainy Bunch di Cyberjaya melakukan pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki kelas pada hari pertama sesi persekolahan hari ini.

CYBERJAYA – Kira-kira 700 pelajar Sekolah Antarabangsa Brainy Bunch di kampus Cyberjaya dan Johor Bahru hari ini memulakan sesi persekolahan secara bersemuka selepas penutupan sejak 9 November tahun lalu.

Pembukaan semula sesi persekolahan disambut baik oleh lebih 100 tenaga pengajar institusi pendidikan itu sekaligus meredakan kerisauan terutama dalam kalangan ibu bapa pelajar yang bakal menduduki peperiksaan utama pada tahun ini.

Abdulfatah Jusoh
Sesi persekolahan Brainy Bunch bermula hari ini

Guru Bahasa Inggeris Sekolah Antarabangsa Brainy Bunch, Abdulfatah Jusoh berkata, sesi persekolahan secara fizikal memberi peluang kepada pelajar untuk ‘mengejar’ semula silibus pelajaran yang tertinggal sepanjang sesi Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PDPR).

Beliau berkata, walaupun kaedah pembelajaran secara online di Brainy Bunch berjalan lancar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKPB) baru-baru ini, peluang untuk kembali ke sekolah memberi lebih banyak kebaikan kepada pelajar.

Katanya, sebagai sekolah yang berkonsepkan montessori, Brainy Bunch amat menitik beratkan pendidikan secara hands-on yang memberi penekanan kepada aspek komunikasi berkesan.

“Kelas online juga masih bukan ‘budaya’ pendidikan yang praktikal di negara ini kerana kaedah pembelajaran secara bersemuka jauh lebih berkesan,’’ katanya kepada Malakat Tribune hari ini.

Murid Sekolah Antarabangsa Brainy Bunch di Cyberjaya mengikuti pembelajaran secara bersemuka pada hari pertama sesi persekolahan hari ini.

Bagaimanapun Abdulfatah berkata, beliau mendapati tumpuan pelajar terhadap beberapa mata pelajar yang melibatkan pembacaan dan pemahaman meningkat sepanjang pelaksanaan PDPR baru-baru ini.

“Tidak dinafikan ada sesetengah mata pelajaran yang berkesan secara online, namun tidak bagi pelajaran seperti Sains dan Matematik yang memerlukan pembelajaran secara bersemuka,’’ ujarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Brainy Bunch, Efizah Mohtar Rasali

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Brainy Bunch, Efizah Mohtar Rasali berkata, pembukaan semula sekolah secara bersemuka itu diharap dapat dilaksanakan secara ‘penuh’ memandangkan masih ada ibu bapa yang memilih kaedah pembelajaran secara online.

“Kita telah melakukan banyak naik taraf pada kandungan pelajaran online sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan akibat penularan Covid-19.

“Dan hari ini, masih ada ibu bapa yang memilih persekolahan secara online. Ia (PDPR) masih diteruskan tetapi kita tidak begitu galakkan demi kebaikan pelajar,’’ katanya.

Efizah berkata, sebagai mematuhi syarat pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan, kesemua kakitangan sekolah itu diminta mengamalkan amalan SOP yang ketat bermula di pintu pagar sekolah.

“Pada hari ini juga kita menerima kunjungan daripada wakil Kementerian Pendidikan Malaysia yang memantau pelaksanaan SOP,’’ katanya.

Beliau berkata, sesi akademik penuh Sekolah Antarabangsa Brainy Bunch bermula dari pukul 7.45 pagi hingga 5 petang.

Azizah Ahmad

Ibu pelajar Azizah Ahmad berkata, pembukaan semula sesi persekolahan hari ini memberi kelegaan kerana penutupan sekolah secara berterusan yang mungkin menjejaskan pembelajaran anak-anak. 

“Syukur alhamdulillah kerana peluang kembali ke sekolah ini beri lebih peluang kepada anak untuk tumpu pada pelajaran.

“Selama ini sesi kelas online berjalan lancar tapi ada banyak kekangan dan saya rasa tidak begitu baik untuk perkembangan mental anak-anak,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here