Sindiket lori: SPRM tahan 44 individu termasuk 32 pegawai JPJ

0
349
SPRM menahan 44 individu termasuk 32 pegawai JPJ dalam Ops Sukat

CYBERJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 44 individu termasuk 32 pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Kesemua mereka ditahan kerana dipercayai terlibat dalam sindiket melindungi pemandu lori yang melakukan pelbagai kesalahan jalan raya.

Kesalahan yang dilakukan pemandu lori berkenaan termasuk membawa lebih muatan yang dibenarkan selain tidak mematuhi aspek teknikal.

Turut ditahan ialah seorang anggota dan seorang bekas anggota trafik berhubung kes sama manakala 10 suspek lain adalah orang awam.

Menurut laporan Kosmo, tangkapan berkenaan dilakukan sejak semalam menerusi besar-besaran di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Perlis dan Melaka.

Menerusi Ops Sukat itu, SPRM menahan pegawai JPJ di Kedah selain seorang anggota trafik dan seorang bekas anggota trafik polis serta satu orang awam, Pulau Pinang (sembilan JPJ), Perak (lapan JPJ dan empat orang awam), Perlis (satu orang awam) serta Melaka (tujuh JPJ dan empat orang awam).

Menurut pendedahan sumber kepada Kosmo, pegawai JPJ tersebut melibatkan pelbagai gred termasuk pegawai kanan manakala orang awam pula merupakan proksi.

“Antara modus operandi yang dikesan ialah pegawai-pegawai berkenaan tidak akan mengambil tindakan terhadap pengusaha lori yang telah melakukan kesalahan jalan raya setelah menerima wang rasuah yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi atau proksi secara bulanan.

“Mereka dipercayai menerima kira-kira RM150 hingga RM3,000 sebulan dengan nilai keseluruhan melibatkan kira-kira RM1.64 juta,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here