Situasi ekonomi negara bertambah baik berbanding setahun yang lalu – Muhyiddin

0
41
Tan Sri Muhyiddin Yassin

CYBERJAYA – Keadaan ekonomi negara kini bertambah baik, jika dibandingkan pada bulan April tahun lalu yang mana ekonomi menguncup 28.7 peratus.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pada bulan Disember tahun lalu, ekonomi negara hanya menguncup 1.7 peratus dan kadar pengangguran juga telah menurun daripada 5.3 peratus pada bulan Mei tahun lalu kepada 4.8 peratus pada bulan Disember tahun yang sama.

“Langkah kerajaan membuka semula sektor-sektor ekonomi secara berfasa selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada bulan Mac 2020 telah menyumbang kepada kedudukan ekonomi semasa yang lebih baik.

“Kebenaran untuk aktiviti-aktiviti ekonomi beroperasi semula telah memberi kelegaan kepada ekonomi negara dan yang lebih penting memberi peluang kepada rakyat untuk kembali menjana pendapatan.

“Pada bulan Januari lalu, apabila angka pandemik meningkat semula, kerajaan mengambil keputusan untuk memastikan bahawa pelaksanaan PKP kali kedua adalah perlu, tetapi berdasarkan kepada data dan sains dalam menangani virus ini yang telah dikaji sepanjang Covid-19 melanda negara,” katanya ketika berucap dalam Amanat Setahun Malaysia Prihatin

Tambahnya, dalam tempoh PKP kali kedua ini, kerajaan telah berusaha untuk mengimbangi antara kepentingan kesihatan awam dan keperluan pertumbuhan ekonomi.

Muhyiddin berkata, berikutan itu kerajaan membuat keputusan untuk memberi kelonggaran dengan membuka lebih banyak aktiviti ekonomi berbanding PKP kali pertama dengan syarat pematuhan kepada SOP yang ketat.

“Kebenaran kepada lebih banyak aktiviti ekonomi untuk beroperasi adalah amat penting kerana sebagai sebuah negara perdagangan, barangan dan produk yang dihasilkan dalam negara perlu dieksport.

“Kita tahu umpamanya sarung tangan getah, produk elektrik dan elektronik dan hasil kayu-kayan seperti perabot mendapat permintaan yang cukup memberangsangkan dalam pasaran eksport.

“Selain itu, kelangsungan sektor-sektor ekonomi seperti pembuatan, perkhidmatan dan peruncitan juga adalah amat penting kerana ia turut membantu operasi syarikat perusahaan kecil dan sederhana (SME) dalam rantaian nilai aktiviti ekonomi negara,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here