SPRM akan siasat sogokan RM10 juta untuk lompat parti

0
91
SPRM

CYBERJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat dakwaan tawaran sebanyak RM10 juta terhadap Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail bagi tujuan melompat parti.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan terus menjalankan siasatan berhubung dakwaan berkenaan dan beberapa saksi kes termasuk keterangan Natrah akan diambil dalam masa terdekat.

“Sehubungan itu, SPRM turut menggesa semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung siasatan kes berkenaan,” kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataannya semalam.

Menurut kenyataan itu lagi, SPRM semalam telah menerima kehadiran Natrah di SPRM Cawangan Segamat, Johor bagi berbincang berhubung isu tawaran rasuah berjumlah RM10 juta oleh dua individu yang didakwa bagi tujuan memujuknya untuk melompat parti.

Jelasnya, pada pertemuan itu, Natrah mengesahkan bahawa tiada tawaran rasuah berjumlah RM10 juta sebagaimana yang didakwa menerusi kenyataan di akaun laman sosial Facebook dikenali sebagai Ops Johor.

Sebelum ini, Natrah menerusi kenyataan akhbar berkata, beliau sudah membuat laporan rasmi kepada SPRM berhubung perkara itu.

Menurutnya, pihaknya tidak berminat untuk memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana tidak mahu mengkhianati PKR dan pengundi-pengundi Parlimen Sekijang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here