Sultan Johor longgar pengimarahan masjid, surau bermula esok

0
188

JOHOR – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan membenarkan solat berjemaah lima waktu, solat Jumaat dan program pengimarahan masjid dan surau di seluruh negeri itu bermula esok.

Menurut kenyataan dikeluarkan Mufti Negeri Johor, Datuk Yahya Ahmad hari ini, kebenaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) itu akan bermula pada solat fardu Subuh Jumaat 5 Syaaban 1442 H bersamaan 19 Mac 2021.

Beliau berkata, penguatkuasaan itu akan diteruskan sehingga satu tarikh yang akan ditentukan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor setelah mendapat pandangan dan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, kebenaran daripada baginda Sultan Ibrahim itu diperkenan di bawah peruntukan Fasal 57 (A) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895 dan Seksyen 6 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003.

“Demi menjaga dan menghidupkan syiar Islam di Negeri Johor Darul Ta’zim, solat Jumat di masjid dan surau yang diberikan kebenaran adalah mengikut kapasiti sebenar dengan mengambil kira penjarakan fizikal.

“Kebenaran solat Jumaat di masjid dan surau yang diberikan kebenaran adalah mengikut kapasiti sebenar dengan mengambil kira penjarakan fizikal,” katanya dalam kenyataan bersama Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanti; Pengarah Jabatan Agama Islam negeri Johor, Datuk Md Rofiki Samsudin yang disiarkan di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.

Mufti Johor, Yahya Ahmad

Antara program yang dibenarkan adalah kuliah al-Quran, bacaan surah Yassin, solat hajat, kelas Takmir (terhad penceramah dalam daerah sama sahaja kecuali pegawai Agama Islam Negeri Johor), ratib dan selawat dan majlis serahan bantuan dengan had masa tidak melebihi 1 jam.

Selain itu, kebenaran menghadiri majlis di masjid dan surau juga diberikan kepada kanak-kanak berusia 7 tahun ke atas.

Yahya berkata, bersempena ketibaan bulan Ramadan tidak lama lagi, solat sunat Tarawih, tadarus al-Quran (tidak melebihi 1 jam), qiamulail, jamuan berbuka puasa dan sahur secara berbungkus juga dibenarkan.

“Segala aktiviti memasak adalah tidak dibenarkan di kawasan masjid dan surau namun edaran bubur lambuk dibenarkan,” katanya.

Katanya, kehadiran jemaah hendaklah diberi keutamaan kepada warganegara dan penduduk tetap sahaja.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here