Sultan Selangor titah kalimah Allah hanya untuk umat Islam

0
186
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj menitahkan bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh umat Islam bagi merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa.

Baginda bertitah, kalimah Allah sama sekali tidak boleh diletakkan di tempat yang salah atau digunakan selain daripada maksud Tuhan Yang Maha Esa yang menjadi asas pegangan akidah umat Islam.

“Namun demikian sekiranya perkataan “Tuhan” digunakan sebagai terjemahan kepada perkataan “God”, beta tiada halangan atas penggunaan perkataan “Tuhan” tersebut.

“Penegasan beta ini juga adalah selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur melawan Menteri Dalam Negeri pada tahun 2014 dan fatwa yang diwartakan di Negeri Selangor pada 18 Februari 2010 yang menyatakan bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan atau disamakan dengan tuhan bagi agama-agama bukan Islam yang lain.

“Adalah menjadi kewajipan bagi orang Islam untuk menyekat penggunaan kalimah Allah jika terdapat unsur-unsur penyalahgunaan atau penghinaan terhadap kalimah Allah tersebut,” titah baginda hari ini.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut menegaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab semua umat Islam terutamanya di Selangor untuk menjaga kesucian kalimah Allah pada setiap masa dan di dalam apa jua keadaan sekalipun.

Pada masa sama, baginda juga menitahkan supaya mereka yang bukan beragama Islam di Selangor sentiasa akur dan mematuhi larangan penggunaan kalimah Allah sepertimana yang diperuntukkan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam, 1988) yang telah diwartakan pada 7 Julai 1988.

Titah baginda, ia termasuk larangan penggunaan beberapa perkataan lain yang termaktub di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam ini bagi tujuan komersial dan bagi tujuan menamakan tempat-tempat perniagaan atau bangunan.

“Sebagai Ketua Agama Islam Selangor, beta tetap akan mempertahankan kesucian kalimah Allah ini kerana memelihara kesucian kalimah Allah ini adalah menjadi tuntutan agama dan tanggungjawab beta seperti mana Firman Alah SWT di dalam ayat 65 surah at-Taubah yang melarang daripada mempermainkan dan mempersendakan kalimah Allah : Yang bermaksud: “Katakanlah, patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?”

“Apa gunanya beta menjadi Ketua Agama Islam Selangor jika beta gagal untuk menjamin kemuliaan kalimah Allah dan kesucian Agama Islam dari dicemari oleh pihak yang mempunyai agenda tersendiri.

“Beta sentiasa menekankan agar rakyat beta dapat menghormati kepercayaan agama masing-masing dan tidak cuba untuk menyentuh sensitiviti agama masing-masing yang boleh merosakkan perpaduan kaum di Negeri Selangor ini,” titah baginda.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here