Tiada bukti AstraZeneca cetus pembekuan darah

0
48
Gambar hiasan

LONDON – AstraZeneca mendakwa masih tiada bukti dapat mengesahkan masalah pembekuan darah yang dikatakan berpunca daripada suntikan vaksin keluarannya berdasarkan semakan data keselamatan pada lebih 17 juta penerima suntikan vaksin keluarannya 

Semakan ke atas individu yang telah divaksin di United Kingdom dan Kesatuan Eropah itu dilakukan selepas pihak berkuasa di beberapa negara menangguh penggunaan vaksin berkenaan ekoran dakwaan menjadi penyebab pembekuan darah.

“Semakan teliti ke atas semua data keselamatan melibatkan lebih 17 juta orang yang menerima vaksin AstraZeneca di Kesatuan Eropah dan United Kingdom tidak menunjukkan bukti peningkatan risiko embolisme pulmonari, trombosis vena dalam atau trombositopenia, pada sebarang kumpulan usia, jantina, kumpulan atau di negara-negara tertentu,” dakwa syarikat itu.

Kelmarin, Ireland, Denmark, Norway, Iceland dan Belanda menggantung sementara penggunaan vaksin itu manakala Austria pula menghentikan terus penggunaan vaksin itu pada minggu lalu ekoran satu kematian yang dipercayai berpunca daripada gangguan pembekuan darah.

Menurut Perunding Kerajaan Britain, Peter English, langkah beberapa negara menggantung penggunaan vaksin itu agak dikesali kerana akan menjejaskan matlamat vaksinasi global bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, kenyataan Agensi Ubat-Ubatan Eropah yang menyatakan tiada tanda-tanda menunjukkan kejadian pembekuan darah itu berpunca daripada suntikan vaksin berkenaan turut disokong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Vaksin AstraZeneca yang dihasilkan dengan kerjasama Universiti Oxford telah diluluskan untuk digunakan di Kesatuan Eropah dan banyak negara namun belum diluluskan di Amerika Syarikat. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here