Tiga nelayan Vietnam cedera terkena tembakan selepas cuba tetak anggota Maritim Malaysia

0
714

Ketika kejadian KM Satria sedang melakukan rondaan sebelum terserempak dengan dua bot nelayan Vietnam

KEMAMAN – Tiga nelayan Vietnam cedera terkena tembakan selepas cuba menyerang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan menggunakan parang.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.25 pagi pada Selasa lalu itu, seorang anggota Maritim Malaysia nyaris maut ditetak ketika beliau menghampiri bot milik nelayan berkenaan untuk pemeriksaan.

Pengarah Maritim Malaysia Pahang, Laksamana Pertama Maritim, Datuk Amran Daud berkata, ketika kejadian, Kapal Maritim (KM) Satria sedang melakukan rondaan dan terserempak dengan dua bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara.

“Menyedari kehadiran pihak berkuasa, kedua-dua bot tersebut cuba meloloskan diri dan pihaknya mengambil masa hampir tiga jam untuk menahan mereka.

“Bagaimanapun, ketika menghampiri bot tersebut, tiga nelayan yang bersenjatakan parang, besi pemberat pukat, tukul besi dan besi penyodok tanah, bertindak menyerang anggota kita menyebabkan anggota melepaskan beberapa das tembakan amaran ke udara.

“Situasi tegang ketika itu membuatkan anggota tiada pilihan lain lalu terpaksa melepaskan tembakan amaran ke arah bot bagi menghentikan tindakan ganas nelayan asing tersebut serta demi untuk mempertahankan diri.

“Serpihan tembakan kemudian mencederakan dua awak-awak dan seorang tekong,” katanya.

Menurut Amran, dalam kejadian itu, sebanyak 19 nelayan termasuk seorang tekong yang  berumur antara 16 hingga 60 tahun telah berjaya ditahan sekitar pukul 8.55 pagi.

“Susulan penahanan itu juga pihaknya berjaya merampas sebuah bot dan ikan segar seberat 500 kilogram yang secara keseluruhan dianggar bernilai RM1.5 juta ringgit.

“Tiga nelayan yang cedera dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAF) Kuantan, untuk rawatan lanjut.

“Bot yang ditahan serta awak-awak dibawa ke jeti Pangkalan Maritim Kemaman kira-kira pukul 12.00 tengah hari Rabu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 serta Akta Imigresen 1959/1963,” katanya.

Dalam pada itu katanya, tiga nelayan asing terbabit turut akan disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here