Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan sahkan ‘khabar angin’ bercuti di New Zealand

0
191
Datuk Seri Dr Santhara J.P

CYBERJAYA – Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Santhara J.P mengesahkan telah keluar negara dan kini sedang bercuti di New Zealand bersama keluarganya di sana.

Bagaimanapun menurut Ahli Parlimen Segamat itu, sebelum ke sana, beliau telah memohon cuti selama 55 hari bekerja.

Katanya, permohonan itu dibuat melalui Menteri Wilayah Persekutuan bagi mendapatkan kelulusan Perdana Menteri.

“Permohonan tersebut telah disokong oleh Menteri Wilayah Persekutuan pada 10 Disember 2020 dan diluluskan oleh Perdana Menteri pada 18 Disember 2020.

“Selain itu, saya juga telah mematuhi prosedur Jabatan Imigresen supaya memohon kebenaran untuk keluar negara (MyTravelPass) secara dalam talian.

“Permohonan MyTravelPass saya telah dikemukakan kepada Jabatan Imigresen pada 30 Oktober 2020 dan menerima kelulusan tersebut pada 2 November 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kelmarin Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran dalam akaun Facebooknya mendakwa Dr Santhara berulang alik ke Malaysia dari New Zealand dan sudah lama tidak berada di negara ini.

Datuk Seri Dr Santhara

Dalam pada itu, Dr Santhara berkata, beliau bertolak ke New Zealand pada 23 Disember tahun lalu bagi melawat anaknya yang sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang dan seorang lagi yang berusia 9 tahun.

“Di samping itu, saya juga perlu melawat isteri yang mengalami masalah kesihatan. Sebagai tambahan, upacara anak saya yang berumur 9 tahun untuk menerima holy communion juga tidak dapat saya hadiri kerana sentiasa sibuk dengan tugas sebagai timbalan menteri dan ahli Parlimen,” ujarnya.

Sementara itu, Dr Santhara juga menegaskan akan mengambil tindakan tegas terhadap Prabkaran dan pihak yang memfitnahnya berhubung isu itu sebaik pulang ke tanah air.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here