Tragedi SUKE: Mayat warga China yang terhimpit berjaya dikeluarkan

0
280
Lokasi pekerja mayat warga China berkenaan terhimpit

KUALA LUMPUR – Mayat seorang pekerja warga China yang terhimpit di antara struktur besi akibat komponen kren gantri jatuh di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Persiaran Alam Damai, di sini, berjaya dikeluarkan awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Nordin Pauzi berkata, mayat tersebut berjaya dikeluarkan selepas 48 jam terhimpit di struktur berkenaan.

Katanya, beliau bersama dua anggota bomba membuat penilaian risiko di atas struktur berkenaan menggunakan kren, jam 2.15 pagi.

“Selepas berpuas hati dengan penilaian dilakukan, tiga anggota bomba yang memakai pakaian perlindungan diri (PPE) menaiki kren, jam 3.09 pagi, sebelum mangsa berjaya dikeluarkan jam 3.50 pagi

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.

Nordin berkata, pihaknya bersama beberapa agensi lain termasuk pihak polis, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan syarikat kontraktor membuat keputusan tepat dengan mengambil tindakan segera mengeluarkan mangsa.

“Pasukan penyelamat mengambil keputusan tepat kerana kita tidak boleh menunggu lama berikutan keadaan mayat sudah mula mereput dan ini adalah peluang terbaik mengeluarkan mangsa.

“Kami berdepan dengan kesukaran untuk mengeluarkan mayat mangsa berikutan keadaan beam tidak stabil dan kami mengambil masa lebih daripada sehari untuk menstabilkan beam berkenaan,” menurut laporan tersebut.

Sementara itu, Mohamed Mokhsein berkata, mayat mangsa akan dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk bedah siasat.

“Siasatan kes ini akan diserahkan kepada pihak JKKP untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam insiden jam 8.45 pagi kelmarin, lima buruh asing dan seorang lelaki warga tempatan terbabit dalam kejadian berkenaan.

Dua buruh asing maut terjatuh dari ketinggian 40 meter, seorang maut kerana tersepit pada struktur besi manakala dua lagi terselamat.

Pemandu kereta Perodua Bezza, Low Zy Jing, 33, yang ditimpa komponen kren gantri itu cedera pada leher dan mendapat rawatan di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here