TransKom 2021-2025 bakal pacu pembangunan koperasi dengan lebih progresif

0
92
Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini melancarkan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKom) 2021-2025 bagi memacu kepada pembangunan koperasi yang lebih progresif dan berdaya saing di masa hadapan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelan itu yang dibangunkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menggariskan sebanyak lima bidang tujahan, 20 langkah strategik dan 36 program serta aktiviti yang akan menjadi pemacu kepada pembangunan koperasi.

“Ia seterusnya akan menjamin kelangsungan sektor koperasi negara sebagai penyumbang terbesar kepada peningkatan sosioekonomi dan kesejahteraan masyarakat di negara ini.

“Sehubungan itu, saya ingin menyeru semua pihak yang terlibat dalam pembangunan sektor koperasi terutamanya Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia, ANGKASA serta Gerakan Koperasi agar memberikan kerjasama dan komitmen yang padu dan berterusan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dalam melaksanakan anjakan transformasi ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran TransKom 2021-2025 hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tunku Jaafar.

Dalam pada itu, beliau turut meminta semua 14,668 koperasi yang berdaftar dengan SKM menjadi aktif dalam perniagaan koperasi untuk sama-sama meningkatkan prestasi ekonomi negara.

Datuk Seri Wan Junaidi

Pada masa sama, katanya, koperasi-koperasi yang tidak aktif dan dorman harus bangkit dan bersama-sama menjadi ejen transformasi koperasi Malaysia.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, TransKom juga menyasarkan penubuhan sebuah institusi pendidikan tinggi bertaraf universiti yang mengkhususkan kepada pendidikan koperasi dan keusahawan.

Perdana Menteri berkata, institusi itu akan bertindak sebagai platform bagi membentuk generasi peneraju baharu gerakan koperasi yang berpengetahuan dan mempunyai kemahiran perniagaan dan keusahawanan.

Sementara itu, Muhyiddin juga menyeru lebih ramai generasi muda terutama golongan belia serta graduan malahan siswazah untuk turut sama menggembleng idea dan tenaga bagi memperkasa Gerakan Koperasi.

Katanya, ini kerana golongan tersebut adalah pelapis dalam memacu pembangunan sosio-ekonomi negara.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here